comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta Perkhidmatan Pos 2012 akan dipinda

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika menghadiri Sambutan Hari Pos Sedunia 2024 di Kompleks Dayabumi di ibu negara.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meminda Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741) sejajar dengan perubahan dalam industri kurier dan pos.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melantik satu badan penasihat ataupun konsultan untuk meneliti kesesuaian serta kewajaran meminda akta tersebut.

“Pihak perunding ini akan mengambil masa lebih kurang lapan hingga 12 bulan untuk menyiapkan laporan dan kita harap selepas itu kerja-kerja untuk mengusahakan pindaan kepada Akta Perkhidmatan Pos dapat dilakukan.

“Kita jangka sekiranya semua berjalan dengan lancar, ia masih akan mengambil sedikit masa untuk melakukan usaha-usaha menulis draf rang undang-undang tersebut.

“Maka pindaan itu mungkin kita akan dapat kita saksikan paling awal mungkin tahun 2026,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pos 2024 di sini, hari ini.

Katanya, banyak perkara telah berlaku sejak 2012 dan bakal berlaku menjelang 10 atau 20 tahun akan datang.

Oleh itu, kerajaan melihat terdapat kewajaran untuk meneliti dan meminda akta terbabit supaya beberapa aspek dapat diteliti dalam mendepani arus masa yang kian mencabar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini