Tumpuan :
Nasional

Akta Perkhidmatan Parlimen: model hibrid jamin kepakaran pengurusan parlimen terpelihara

Tan Sri Johari Abdul ketika sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Oleh: Farah Nabilah Wazer

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan model hibrid dalam pentadbiran dan pengurusan Parlimen Malaysia menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata pendekatan itu bukan sahaja menjamin kelangsungan kepakaran khusus dalam pengurusan sesi Parlimen, malah memastikan kelancaran operasi dengan memanfaatkan pengalaman pegawai Perkhidmatan Awam.

“Kita akan mentafsirkan kebebasan itu sebagai ‘hibrid’. Maksudnya, kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat mempunyai kakitangan sendiri, termasuk setiausaha khusus untuk mengendalikannya. Mereka ini profesional dan mempunyai pengalaman luas,” katanya.

Tambahnya, model hibrid itu membolehkan pengurusan sumber manusia, pentadbiran dan kewangan Parlimen terus dikendalikan oleh pegawai Perkhidmatan Awam, sementara pengurusan Dewan Negara dan Dewan Rakyat, termasuk hal ehwal Jawatankuasa Pilihan, dikendalikan oleh anggota Perkhidmatan Parlimen yang merupakan satu perkhidmatan berasingan.

Beliau yang ditemui dalam satu sidang media di Bangunan Parlimen siang tadi turut meminta kesemua 220 Ahli Parlimen menyokong RUU yang bersifat bebas daripada badan Eksekutif, sebagai usaha mereformasi Parlimen.

Johari berkata, sesi perbincangan bersama pihak kerajaan dan pembangkang juga telah diadakan.

Akta Perkhidmatan Parlimen pertama kali diperkenalkan pada 1963 sebelum dimansuhkan pada 1992.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Parlimen Isnin lalu, dan bacaan kali kedua dijangka dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 4 Mac depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini