Oleh: Amirulhakim Lokman
SELANGOR: Pembentangan Rang Undang-Undang Akta Parlimen Berpenggal bagi mengekalkan kerajaan sehingga tamat penggal parlimen bukan menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan cadangan berkenaan juga belum dibincangkan antara pemimpin parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.
“Adalah terlalu awal untuk membuat keputusan mengenainya, belum ada yang dirujuk kepada Peguam Negara dan tiada konsensus pemimpin parti politik dalam kerajaan Madani.
Kita perlu melalui proses itu dulu dan kita akan lihat cadangan itu, namun ia bukan keutamaan kita”
“Kami tidak membincangkannya lagi. Ia agak ‘premature’. Ada cadangan tetapi bagi saya ia bukan keutamaan,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Kecerdasan Buatan (AI) untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM), di Serdang.
Beliau mengulas, cadangan Timbalannya yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, supaya diwujudkan satu undang-undang khusus.
Ia bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum PRU mentadbir dan bertahan hingga akhir penggal atau lima tahun.