Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Akta Orang Asli 1954 dipinda, mudahkan urusan pendaftaran perkahwinan, kelahiran

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) akan dipinda antara lain bagi memudahkan urusan pendaftaran perkahwinan dan memperoleh sijil kelahiran.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pindaan akta itu juga akan menyelesaikan isu pemilikan tanah dalam kalangan masyarakat berkenaan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

“Mereka mesti diberikan hak secara perundangan terhadap kawasan rayau dan hak milik tanah kekal bagi perumahan mereka.

“Terdapat beberapa kekangan dari Kanun Tanah Negara dan perundangan yang tersangkut dalam soal hal ehwal tanah. Kita menghormati Kerajaan-kerajaan Negeri yang sangat terikat kepada kanun tanah dan peraturan tanah yang ada di negeri itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di sini hari ini.

Ditanya tempoh masa pindaan akta ini akan dibawa ke Parlimen, Ahmad Zahid berkata, perkara itu sedang dibincangkannya dengan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor yang turut dilantik sebagai Pengerusi Urusetia Pembangunan Ekonomi Orang Asli.

“Kemudian beliau (Ramli) akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara. Pindaan akta ini adalah tindakan pantas berbanding menggubal akta baharu. Dengan adanya pindaan ini, ia juga melibatkan Perlembagaan dan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri akan dijalin.

“Bila akta ini dibentang di Parlimen kelak, dan apabila ianya melibatkan pindaan Perlembagaan, ianya mesti memperolehi suara dua pertiga untuk sesuatu pindaan itu dibuat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKOA, Sapiah Mohd Noor mengakui banyak kekangan ketika proses membuat kad pengenalan atau sijil kelahiran membabitkan Orang Asli.

Menurutnya, masyarakat tersebut perlu berjumpa JAKOA untuk memperoleh surat pengesahan kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak boleh mengeluarkan dokumen berkenaan kerana tiada surat nikah ibu bapa terbabit.

Sapiah berkata, JAKOA kemudiannya akan menyemak status pasangan suami atau isteri tersebut bagi mengelak masyarakat itu dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya sangat teruja apabila Timbalan Perdana Menteri ambil (pindaan akta) ini sebagai satu perkara yang perlu diambil perhatian. JAKOA akan berusaha untuk menepati sasaran dan indeks petunjuk prestasi (KPI) telah ditetapkan,” katanya.

Untuk rekod, Akta 134 dipinda kali terakhir pada tahun 1967 dan disemak pada 1974.

Ketika ini terdapat kira-kira 209,000 Orang Asli di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Urusetia Pembangunan Ekonomi Orang Asli dibentuk hari ini dengan JAKOA dilantik sebagai sekretariat urusetia tersebut, dalam usaha membawa kemajuan dan perubahan kepada Orang Asli.

Selain itu, beliau berkata, 300 anak Orang Asli disasarkan memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) tahun ini.

“Ada beberapa pendekatan untuk mencapai matlamat itu. Kita akan lakukan dari segi motivasi, kelas tambahan dan beberapa pengisian program kerana anak Orang Asli jika diberi peluang pendidikan seperti diploma atau ijazah, pasti mereka akan lakukan perubahan kepada keluarga mereka sendiri,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ramlan Harun akan mendekati pemaju perumahan supaya melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membina atau membaiki rumah Orang Asli, di samping meneruskan peruntukan sedia ada.

Loading...
Terkini