Tumpuan :
Nasional

Akta Koperasi 1993 akan dipinda – Ewon

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick

KUALA LUMPUR: Akta Koperasi 1993 akan dipinda melibatkan 96 peruntukan asal dalam akta tersebut yang akan disusun semula dan ditambah baik.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata draf pindaan itu yang kini sedang disiapkan akan dibawa ke Kabinet sebelum dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat tahun hadapan.

“Kami jangkakan sebanyak 200 pindaan (peruntukan) baharu akan dimasukkan dalam akta tersebut, melibatkan perkara-perkara dasar yang telah dipersetujui.

“Pindaan-pindaan ini dibuat bagi memperkukuhkan elemen pengawalseliaan dan memastikan perundangan koperasi kekal relevan dengan persekitaran ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata antara peruntukan utama yang akan dimasukkan ke dalam akta itu adalah berkaitan liberalisasi perniagaan koperasi dan aspek tadbir urus termasuk kawal selia pendaftaran koperasi.

Ewon berkata draf pindaan itu dibuat berdasarkan cadangan agensi-agensi di bawah kementerian melalui kajian selidik dijalankan sebelum ini.

“Selepas ini, kita akan adakan sesi libat urus dengan koperasi-koperasi seluruh negara untuk mendapatkan pandangan mereka terhadap cadangan ini sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini