Tumpuan :
Nasional

Akta kawalan produk merokok termasuk vape berkuat kuasa hari ini

KKM akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok mulai 1 Oktober ini.

KUALA LUMPUR: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam, mula berkuat kuasa hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi media sosial, peraturan dan perintah yang bakal dikuatkuasakan TERMASUK rokok elektronik.

Akta 852 diwartakan pada Februari lalu pada mulanya diumumkan akan dilaksanakan pada Jun dan kemudiannya ditangguhkan pada Ogos.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah KKM mewartakan Akta 852 bermula 2 Februari lalu adalah sejajar usaha untuk mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.

Dr Dzulkefly berkata, kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) Malaysia 2023 menunjukkan peningkatan peratus pengguna rokok elektronik atau vape yang amat ketara terutama dalam kalangan orang dewasa yang berusia kurang 50 tahun, sangat membimbangkan dan memerlukan tindakan yang tuntas.

GATS 2023 diterbitkan Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Dapatan utama GATS 2023 yang dikeluarkan pada Jun lalu mendapati prevalens pengguna rokok elektronik semasa meningkat secara drastik daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.

Prevalens pengguna rokok elektronik dalam kalangan perokok berusia 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 8.6 peratus pada 2023 berbanding 1.1 peratus pada 2011, menurut GATS 2023.

Selain itu, GATS 2023 turut mendedahkan prevalens dwipengguna iaitu tembakau dan rokok elektronik meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 3.9 peratus pada 2023.

Kementerian sebelum ini dikritik kerana tanpa penguatkuasaan Akta 852, peraturan untuk mengharamkan penjualan vape kepada kanak-kanak tidak dapat dikuatkuasakan.

Ini berlaku selepas perintah untuk mengeluarkan nikotin yang digunakan dalam vape dan rokok elektronik daripada senarai bahan terhad di bawah Akta Racun.

Akta 852 dijangka dikuatkuasakan dengan mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape termasuk larangan mempamerkan produk tersebut secara terbuka di premis perniagaan.

Akta itu juga menggariskan larangan penjualan rokok dan vape melalui dalam talian ke atas semua platform bagi mengelakkan ia dibeli oleh Orang Belum Dewasa (OBD) iaitu individu berusia di bawah 18 tahun.

Selain itu, produk rokok dan vape juga dilarang dijual melalui mesin vending dan tidak boleh dijual di kawasan institusi pendidikan atau institusi pengajian tinggi (IPT).

Produk rokok dan vape juga dilarang dijual di pasar jualan atau mana-mana pasar jualan bersifat sementara seperti Uptown, Downtown, pasar malam dan sebagainya.

Maklumat lanjut mengenai Akta 852 boleh dilihat di sini: https://www.parlimen.gov.my/files/billindex/pdf/2023/DR/DR%2025%20-%20BM.pdf

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini