comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 berkuat kuasa esok

KUALA LUMPUR: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diwartakan pada 2 Februari lalu akan berkuat kuasa serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya, bermula esok.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata penguatkuasaan akta itu membabitkan beberapa aspek yang bakal dikuatkuasakan secara serta merta dan juga secara berfasa.

Katanya, antara aspek yang dikuatkan serta merta termasuk peruntukan membabitkan penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja bagi mengekang kebolehdapatan produk terbabit.

“KKM memandang serius kesan buruk amalan merokok yang berleluasa, termasuk aktiviti pemasaran dan promosi tidak beretika yang disasarkan kepada golongan kanak-kanak dan remaja.

“Selain itu, peruntukan membabitkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok,” menurut kenyataan itu yang turut dikongsikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam saluran X, malam ini.

KKM menegaskan penguatkuasa itu juga membabitkan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri juga dikuatkuasa serta merta.

Katanya, bagi penguatkuasaan pendidikan (yang dibuat secara berfasa) pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam sehingga 12 bulan daripada tarikh kuatkuasa.

Katanya, ia termasuk pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

“Selain itu, pembungkusan dan pelabelan yang akan dikuatkuasakan mengikut produk selewat-lewatnya 1 Oktober 2025 dan kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan yang akan dikuatkuasakan selewat-lewatnya 1 April 2025.

“Justeru, penguatkuasaan udang-undang secara berkesan dan mampan memerlukan persefahaman dan kerjasama daripada semua pihak.

“Untuk tujuan itu, KKM akan turut menerbitkan bahan pendidikan dan advokasi untuk membantu seluruh pemegang taruh memahami akta ini dengan lebih jelas,” katanya.

Kenyataan itu juga menegaskan, KKM akan meneruskan sesi libat urus berkaitan pematuhan akta ini, terutamanya dengan pemain industri.” katanya.

“Sebarang pertanyaan lanjut berhubung pelaksanaan penguatkuasaan Akta 852 boleh dibuat di talian 03-8892 4552 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 010-8608949 pada Isnin hingga Jumaat jam 8 pagi hingga 5 petang bermula hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini