comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dijalankan secara dua fasa

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan 

PUTRAJAYA: Pelaksanaan penguatkuasan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dijalankan secara dua fasa, walaupun telah bermula hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keutamaan pihaknya melaksanakan akta itu ialah untuk mendidik masyarakat tentang bahaya rokok dan vape.

“Saya dah terangkan, kita akan tekankan pada dua aspek. Walaupun bermula hari ini, tapi dari segi pelaksanaan ada dua fasa.

“Fasa pertama itu yang kita jalankan secara serta-merta, fasa kedua yang kita ambil pendekatan yang dikenali sebagai fasa pendidikan. Kalau bab serta-merta itu, pastinya melibatkan penjualan bagi mengekang kebolehdapatan barang-barang itu.”

Ujarnya, penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh 6 hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025.

“Kita beri enam bulan, satu tempoh yang munasabah, mewah untuk buat pendaftaran itu. Kita bukan beri sebulan, tetapi enam bulan untuk mereka buat.”

Malah katanya, dia memberi jaminan, pihaknya akan bertindak secara berhemah berhubung pelaksanaan penguatkuasan akta yang bermula hari ini, walaupun mendapat kuasa penuh daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kepada mereka yang bersalah.

“Kita diberi satu kuasa penuh oleh AGC, dalam hal ini saya yakin penguatkuasa saya di KKM akan mengambil pendekatan yang sangat berhemah dan saya mahu mereka bertindak berhemah.

“Walaupun kita mahu ia dikuatkuasakan segera, tetapi mesti diambil tindakan secara berhemah.

“Apa yang kita mahukan kerelaan dan kesetiaan mereka yang terlibat dalam industri ini memahami apa yang kita lakukan semua ini adalah untuk kebaikan khasnya untuk kesejahteraan anak remaja generasi muda kita.

“Kita mahu suasana saling menghormati undang-undang dan hak-hak terutamanya kanak-kanak bawah umur” katanya.

Ujarnya, walaupun penguatkuasaan akta itu bermula hari ini, KKM sentiasa terbuka dan akan melakukan libat urus dengan industri dan mana-mana pihak dalam membuat penambahbaikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini