comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta 852: KKM keluar 3 kompaun, lebih 2,000 notis amaran

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan sebanyak 2,548 notis amaran kepada pemilik premis dan individu selepas didapati melanggar Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu.

 

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, tiga kompaun atas kesalahan merokok di kawasan larangan merokok turut dikeluarkan.

“Dengan berkuat kuasa Akta 852, KKM mengadakan pemeriksaan di 2,930 premis di seluruh negara menerusi 108 operasi membabitkan seramai 1,614 anggota.

“Sepanjang pemeriksaan itu, kita mengeluarkan sejumlah notis dan notis ini hanya sebagai tindakan penguatkuasaan pendidikan supaya orang ramai tahu mengenai Akta 852,” katanya pada sesi taklimat media berkaitan Akta 852, di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Dr Norhayati, berlaku salah faham apabila ada pihak mendakwa penguat kuasa KKM mengeluarkan notis kompaun kepada pemilik premis.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, ia adalah notis amaran bersifat advokasi supaya orang ramai peka dengan Akta 852.

“Seperti yang dilaporkan baru-baru ini, penguatkuasaan Akta 852 dilaksanakan secara berfasa, ada yang dikuatkuasakan serta-merta dan ada yang secara berperingkat.

“Sebab itu kita hanya mengeluarkan notis peringatan kecuali mereka yang melakukan kesalahan merokok di kawasan larangan, itu kita keluarkan kompaun,” katanya.

Berdasarkan Akta 852, tindakan penguatkuasaan seperti tanda amaran larangan merokok yang baharu, pameran produk merokok di kedai serbaneka dan penjualan produk tersebut di kedai khas akan bermula pada 1 April 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini