Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Akta 852 dikuatkuasakan hari ini, sejauh mana masyarakat akur?


Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bermula hari ini.

Antara diperuntukkan dibawah Akta 852 termasuk penjualan produk merokok berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja.

Juga dilarang, pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok, penjualan produk merokok di institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri.

Buletin TV3 membuat tinjauan di sekitar Lembah Klang dan mendapati masih ada masyarakat yang tidak endah dengan larangan terbaharu ini.

Beberapa premis kedai yang dilawati, masih ada golongan yang merokok di kedai makan tanpa menghiraukan pelanggan lain.

Menghembus asap rokok atau vape sesuka hati, tanpa memikirkan kesan kesihatan pelanggan lain.

Peniaga, Muhamad Fadhil Hambali, 38, berpendapat amat wajar tindakan tegas diambil terhadap golongan itu yang mengundang suasana kurang selesa dalam kalangan pelanggan lain.

“Kami peniaga ini kita nak tegur (pelanggan merokok) pun serba salah, kalau boleh kita mengelakkan daripada bergaduh. Sebelum ambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

“Memang kerap mereka ini merokok, kadang kala bukan berselindung pun tetapi secara terang-terangan di tempat makan,” katanya ketika ditemui.

Seorang lagi peniaga, Mohd Rozi Mat Saad, 55, juga berpendapat kempen kesedaran serta tindakan tegas termasuk saman boleh memberi pengajaran kepada golongan yang degil itu.

“Dah dua kali sini penguatkuasa KKM datang, ada yang kena saman juga tapi buat juga. Sebab ktia tegur (merokok di tempat awam), dia marah kita balik cakap tak boleh merokok dia cakap yang (orang) lain boleh.

“Ada papan tanda, kenapa nak hisap rokok lagi, biasa kena marah ini kita diam jelah sebab kita dah jalankan tanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, tinjauan secara dalam talian juga mendapati ada platfom yang akur dengan penguatkuasaan akta itu.

Carian produk vape atau rokok tidak dipaparkan, malah pelanggan perlu mengisytiharkan umur sebelum dibenarkan akses kepada produk tersebut.

Bagaimanapun, masih ada platfom yang dilihat menjual produk itu secara terang-terangan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini