comscore
Tumpuan :
Nasional

Aksi aerobatik menakjubkan buka tirai LIMA’23

Oleh Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) membuka tirainya hari ini dengan aksi pembukaan yang menakjubkan.

Majlis yang diadakan di landasan utama Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Di hadapan lebih 2,000 penonton aksi pembukaan menampilkan formasi udara serta persembahan aerobatik juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama jet pejuang F/A-18D Hornet, Sukhoi 30MKM, Hawk 108/208, Airbus A400M, Pilatus dan helikopter Agusta AW139.

LIMA’23 yang berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 Mei ini menghimpunkan 525 pempamer dari seluruh negara dan dijangka menarik kehadiran 45,000 pengunjung perdagangan serta 250,000 pengunjung awam.

LIMA edisi ke-16 ini juga disertai 119 pesawat yang menyertai pameran statik dan aerobatik, selain 40 buah kapal tentera laut dari dalam dan luar negara.

18 buah negara juga membuka pavilion antaranya Australia, China, Perancis, Jerman dan India.

Seperti kebiasaanya, pameran ini akan turut diserikan dengan persembahan aerobatik dari pasukan Jupiter dari Indonesia, Black Eagle dari Korea Selatan serta Russian Knights dari Rusia.

Penganjuran LIMA ’23 membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Industri Pertahanan Maritim dan Aerongkasa) dan Kementerian Pengangkutan (Industri Komersil Maritim dan Aeroangkasa).

Loading...
Terkini