comscore
Tumpuan :
Nasional

Akses untuk keadilan penting buat ASEAN – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu memastikan akses kepada keadilan menjadi agenda utama ketika mempengerusikan ASEAN pada tahun 2025.

Kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, keutamaan kepada akses keadilan dapat dilakukan dengan memperkukuhkan mekanisme Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) bagi sebarang pertikaian rentas sempadan.

“Ketika Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada tahun hadapan, saya ingin mengulangi kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana, ASEAN mesti mengutamakan pembangunan ekonomi kolektif dengan mengukuhkan hubungan diplomatik.”

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Minggu ADR Pusat Arbitrasi Antarabangsa Asia (AIAC) di ibu negara siang tadi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Peguam Negara yang juga Pengerusi AIAC, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Timbalan Pengerusi AIAC, Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen and Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Katanya, dengan memanfaatkan kekuatan setiap negara, ASEAN dapat mencapai pembangunan lestari yang melebihi pertumbuhan ekonomi semata-mata.

“Dalam usaha ini, rantau ini mesti memastikan akses kepada keadilan melalui ADR terus menjadi keutamaan.

Katanya, perkara seperti perkongsian maklumat dan sokongan institusi antara pusat arbitrasi serantau, merupakan kunci untuk meningkatkan kedudukan ASEAN di peringkat global.

“Baru-baru ini saya ada berjumpa dengan Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee dan Setiausaha Keadilan, Paul Lam serta Menteri Undang-Undang Singapura, K. Shanmugam.

“Kami bertukar pendapat mengenai perundangan dan membincangkan perkembangan ADR dalam rantau ini selain menerokai peluang untuk kerjasama.

“Perbincangan ini selari dengan lawatan saya ke Thailand dan China di bawah inisiatif ASEAN Tour yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan selain menjadikan ASEAN sebagai pilihan utama hub ADR.

“Malaysia, dalam peranan kepimpinannya di ASEAN, berusaha untuk memupuk kerjasama serantau dan mencari jalan untuk mendapatkan penyelesaian masalah atau isu paling berkesan untuk meningkatkan keyakinan pelabur di seluruh rantau ini.”

Malah, beliau turut mengulangi komitmen kerajaan untuk mewujudkan persekitaran yang mesra pelabur dengan mengukuhkan rangka kerja ADR yang lancar.

Katanya, Malaysia akan menjadi tuan rumah Forum Undang-Undang ASEAN 2025.

Acara itu katanya, akan melambangkan perpaduan dan kerjasama antara negara-negara ASEAN dalam mempromosikan ADR, selain penglibatan Menteri Undang-Undang dari negara-negara ASEAN untuk memajukan penyelesaian pertikaian di seluruh rantau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini