Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Akreditasi yang diterima Makmal Forensik Digital Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan sahaja mampu memberikan sokongan teknikal yang lebih baik kepada operasi siasatan.
Malah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Sijil Akreditasi ISO/IEC 17025:2017 yang diterima daripada Jabatan Standard Malaysia akan meningkatkan kredibiliti dan kebolehpercayaan makmal tersebut di peringkat antarabangsa.
Menurut Azam, pengiktirafan itu mencerminkan tahap profesionalisme SPRM dalam memastikan makmal terbabit beroperasi berdasarkan keperluan ISO 17025:2017 iaitu standard antarabangsa untuk mengesahkan kompetensi makmal pengujian dan kalibrasi.
“Akreditasi MS ISO/IEC 17025 adalah lebih daripada sekadar pengiktirafan. Ia merupakan tanda aras keupayaan teknikal Makmal Forensik Digital SPRM untuk menghasilkan keputusan analisis forensik yang tepat serta mematuhi aspek sistem pengurusan, pengesahan kaedah analisis, kawalan proses analisis dan kompetensi personal makmal.
“Dengan akreditasi ini, hasil analisis forensik digital kita bukan sahaja diperakui di Malaysia tetapi juga diiktiraf di peringkat global, membuka ruang untuk bekerjasama rentas sempadan dalam siasatan dan penyelidikan,” katanya.
Tambahnya, pengiktirafan akreditasi itu adalah selaras dengan Pelan Strategik SPRM 2021-2024.
Ia ditauliahkan kepada Bahagian Forensik Digital (BFT) SPRM menerusi Makmal Forensik Digital pada 13 November lalu di bawah Skim Akreditasi Makmal Malaysia (SAMM).
Mengulas lanjut, Azam berkata, akreditasi yang diperoleh BFT SPRM melibatkan empat skop iaitu forensik komputer, forensik audio video dan imej, forensik telefon bimbit serta forensik tulisan tangan pengubahsuaian dokumen dan ‘stamp impression’.
“Dengan pencapaian ini, BFT kini mempunyai mandat untuk memastikan semua proses analisis forensik digital berjalan mengikut piawaian yang telah ditetapkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.