KUALA LUMPUR: Pasukan Pegawai Petugas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertugas di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam menggagalkan cubaan menyeludup minyak diesel sebanyak 600 liter menggunakan kenderaan persendirian dari Thailand, sekitar jam 8.30 malam semalam.
Cubaan dikesan ketika pemeriksaan rutin yang dijalankan, di mana pasukan petugas AKPS mendapati dua buah kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai dengan tangki tambahan untuk tujuan penyeludupan bahan api berkenaan.
Susulan pemeriksaan lanjut, kedua-dua kenderaan itu ditahan dan disita untuk siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selain itu, notis saman turut dikeluarkan di bawah Seksyen 6(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Notis larangan penggunaan kenderaan turut dikeluarkan kerana pengubahsuaian kenderaan tersebut tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan untuk kenderaan persendirian.
“Kenderaan terbabit disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana membahayakan pengguna jalan raya lain serta melibatkan kesalahan berulang,” menurut AKPS dalam satu kenyataan.
Kes telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut bagi memastikan undang-undang dipatuhi serta membanteras aktiviti penyeludupan yang boleh merugikan negara.
Nilai rampasan, termasuk minyak diesel dan kenderaan yang disita, dianggarkan berjumlah RM102,000.00.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.