![](https://media.buletintv3.my/2025/02/62aYIRBN-AKPS.jpg)
KUALA LUMPUR: Pasukan Pegawai Petugas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan cubaan membawa masuk 36,004 kilogram (kg) makanan haiwan bernilai RM75,481 dari Thailand.
Cubaan itu dikesan ketika pemeriksaan rutin di laluan kenderaan berat di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam sekitar jam 7.40 malam semalam.
“Hasil pemeriksaan teliti mendapati sejumlah 8,000 kg makanan haiwan yang diisytiharkan adalah tidak tepat dan mengelirukan, kerana tarikh luputnya berbeza dengan sijil kesihatan yang disertakan.
“Selain itu, selebihnya sebanyak 28,004 kg makanan haiwan tersebut tidak mempunyai permit import yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS),” menurut AKPS dalam satu kenyataan.
Kesalahan itu adalah di bawah bidang kuasa Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Semua barang rampasan telah diserahkan kepada MAQIS Negeri Kedah untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.