
SEPANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA menggagalkan cubaan 68 warganegara asing memasuki Malaysia tanpa memenuhi syarat kemasukan dalam operasi pemantauan yang dijalankan di Bangunan Terminal Utama Antarabangsa, Terminal 1 KLIA, semalam.
AKPS dalam kenyataan berkata pemantauan yang berlangsung dari jam 11 pagi hingga 1 tengah hari itu dikendalikan oleh Unit Kawalan Operasi KLIA Terminal 1, terdiri daripada dua pegawai kanan dan empat pegawai pelbagai pangkat.
“Dalam operasi tersebut, seramai 92 warganegara asing dari pelbagai negara diperiksa, dan 68 individu yang didapati tidak memenuhi syarat kemasukan dibawa ke Pejabat Operasi Imigresen untuk menjalani proses usaha wajar (due diligence) sebelum diberikan Notis Penolakan Masuk (NTL),” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, 16 lelaki warganegara Pakistan, 45 lelaki dewasa warganegara Bangladesh, dan enam lelaki dewasa serta seorang wanita dewasa warganegara India.
Menurut AKPS, jumlah itu merupakan rekod tertinggi NTL dalam masa 24 jam sepanjang tempoh Januari hingga 18 Februari 2025.
“Kesemua mereka mendakwa datang ke Malaysia sebagai pelancong. Namun, selepas tiba di terminal, mereka tidak meneruskan perjalanan ke kaunter pemeriksaan imigresen, sebaliknya berlegar-legar di Balai Ketibaan dan premis makanan sambil menunggu pihak tertentu membawa mereka masuk,” katanya.
Tambahnya, sejak Januari hingga 18 Februari 2025, AKPS telah memeriksa 2,654 warganegara asing dengan modus operandi yang sama, dan 900 individu 34 peratus telah diberi NTL kerana didapati bukan pelancong tulen.
AKPS turut menegaskan bahawa semua warganegara asing yang ingin melancong ke Malaysia perlu mematuhi peraturan kemasukan bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Pemantauan ketat di pintu masuk antarabangsa akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan negara berada di tahap maksimum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.