TELUK INTAN: Seorang wanita berusia 38 tahun menjadi mangsa terbaru ‘phone scam’ apabila diperdaya hingga kerugian RM217,000.
Mangsa yang juga penyelia sebuah syarikat swasta membuat laporan bahawa dirinya diperdaya sindiket penghantar barang pada jam 1.23 petang, semalam.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata, hasil siasatan awal pihak polis mendapati, mangsa dihubungi oleh empat individu berlainan pada 26 Jun lalu, kira-kira jam 2 petang yang memperdaya mangsa dengan pelbagai dakwaan mencurigakan.
“Ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya di Teluk Intan menerima satu panggilan telefon daripada seorang lelaki (suspek pertama) disyaki warga tempatan yang memperkenalkan dirinya daripada syarikat penghantaran barang, menyatakan terdapat satu parcel milik mangsa sebagai pengirim.
“Lelaki berkenaan juga menyatakan imbasan imej yang dibuat olehnya mendapati parcel yang didakwa milik mangsa mengandungi lima kad pengenalan, lima passport dan lima kad ATM pelbagai bank.
“Mangsa menafikan perkara itu dan suspek kemudiannya meminta mangsa untuk membuat laporan polis secara atas talian dengan menyambungkan talian telefon kepada seorang perempuan (suspek kedua) yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Jasmine dan menyoal siasat mangsa,” katanya.
Menurut Mohd Yusri, mangsa seterusnya disambungkan panggilan telefon kepada seorang lelaki (suspek ketiga) yang memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Wong dan menyoal siasat mangsa serta membuat semakan ke atas nama mangsa.
“Suspek ketiga menyatakan mangsa terdapat satu waran tangkap atas nama mangsa kerana terlibat di dalam kes pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.
“Mangsa kemudiannya disambungkan talian telefon kepada individu lain (suspek keemoat) yang memperkenalkan dirinya dengan nama Datuk Koh, pegawai tinggi polis di mana mangsa turut disoal siasat oleh Datuk Koh dan mengarahkannya memasukkan kesemua wang simpanan milik mangsa ke dalam enam institusi kewangan tempatan yang diberikan oleh datuk koh bagi tujuan siasatan bagi membersihkan nama mangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, mangsa dijanjikan oleh Datuk Koh, akan memulangkan semula wang milk mangsa setelah selesai melakukan siasatan.
“Mangsa terpedaya dengan suspek kemudiannya memindahkan keseluruhan wang simpanan dan pinjaman mangsa kepada enam institusi kewangan tempatan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM217,000 bermula 27 Jun hingga 30 Jun lalu.
“Selain itu, mangsa juga diminta untuk melaporkan diri dan pergerakan mangsa setiap kali membuat pindahan wang kepada Datuk Koh melalui aplikasi WhatsApp.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu setelah menceritakan kejadian itu kepada rakannya kelmarin kerana berasa takut dan bimbang. Rakan mangsa menasihatinya untuk membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa ditipu oleh penjenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Yusri menasihatkan orang ramai supaya supaya menggunakan aplikasi Whoscall atau Truecaller untuk mengetahui identiti pemanggil yang tidak dikenali serta tidak mudah panik sekiranya menerima panggilan dari scammer.
“Agensi penguatkuasaan di Malaysia tidak akan menelefon untuk mengugut serta memberi pilihan ‘selesai di luar’. Oleh itu, sentiasa buat semakan dan pengesahan dengan jabatan atau agensi berkaitan,” tegasnya.