Tumpuan :
Nasional

Sistem e-Placement terganggu, 2,245 pegawai perubatan perlu pilih semula penempatan

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membatalkan semua pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Februari lalu susulan gangguan teknikal pada sistem ePlacement.

Kementerian itu memaklumkan, bagi memastikan ketelusan dalam proses penempatan dan menangani isu maldistribusi, pemilihan baharu akan dibuka pada Isnin 17 Mac ini bermula jam 3.00 petang menerusi sistem sama.

“Susulan itu, calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan boleh berbuat demikian melalui Google Form dalam sistem ePlacement. Tempoh rayuan dibuka dari 17 Mac hingga 23 Mac 2025.

“Hanya rayuan yang dikemukakan dengan dokumen lengkap dalam tempoh yang ditetapkan akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan dan Pertukaran.

“Keputusan rayuan akan diumumkan pada Isnin, 28 April 2025 melalui portal Semakan Kerjaya KKM.” Menurutnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, KKM amat kesal atas kesulitan yang dihadapi oleh para calon dan memberikan jaminan bahawa langkah-langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengelakkan isu berulang.

Sistem ePlacement yang dibuka pada Khamis, 27 Februari lalu pada jam 3:00 petang telah mengalami gangguan teknikal selama 1 jam 30 minit.

Gangguan teknikal ini menyebabkan kesilapan dalam pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10, sekali gus menjejaskan agihan yang telah ditetapkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini