JOHOR BAHRU: Gara-gara membuang timbunan sampah ke kawasan pantai di sini, seorang pekerja syarikat kontraktor pembersihan, dipecat.
Tindakan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) itu susulan penularan rakaman video yang menunjukkan seorang pekerja kontrak melakukan perbuatan itu, semalam
“Susulan itu, MBJB mengarahkan kerja pembersihan semula dilakukan di kawasan berkenaan, dan ia dijalankan dengan segera oleh pihak kontraktor pada hari kejadian.
Akibat buang timbunan sampah ke kawasan pantai, pekerja pembersihan kene pecat. pic.twitter.com/EWQnIXNLEb
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 14, 2023
“MBJB turut mengeluarkan surat amaran kepada kontraktor terbabit dan mengarahkan pihaknya menandatangani Surat Aku Janji bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jurucakap itu berkata, difahamkan bahawa pekerja terbabit ditamatkan perkhidmatannya dengan serta-merta.
“MBJB menghargai maklumat yang disampaikan orang awam. Aduan boleh disalurkan melalui talian am MBJB (07-2198000), talian bebas tol (1300-88-0146) atau melalui WhatsApp (019-7788212),” katanya.
Semalam, media melaporkan tular rakaman video dalam media sosial berhubung tindakan seorang pekerja pembersihan didakwa membuang sampah yang dikutip dari tong sampah, ke kawasan tepi pantai.
Perbuatan itu disedari seorang wanita yang memberhentikan kenderaannya di hadapan Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas pulang daripada bersenam pagi.
Wanita itu mendakwa lelaki terbabit juga dilihat merakam gambar tong sampah sebelum dibersihkan dan selepas menggantikan plastik sampah yang baharu, dipercayai bagi mengaburi mata pihak tertentu.
Ketika meninjau kawasan pantai berkenaan, wanita itu mendakwa lokasi terbabit dipenuhi plastik sampah dipercayai berpunca daripada perbuatan pekerja pembersihan berkenaan.