comscore
Tumpuan :
Nasional

Akademi Keselamatan Siber Malaysia ditubuhkan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan ditubuhkan bagi menampung lebih 26,000 kekosongan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, penubuhan akademi tersebut adalah penting untuk menyelaras bentuk kursus yang ditawarkan di universiti dari segi akreditasi.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Digital (Gobind Singh Deo) dalam perkara ini, jadi hasil perbincangan itulah yang kertas (pertimbangan) tadi dibentangkan dan kursus-kursus hendaklah disegerakan.

“Ini kerana keperluannya amat mendesak dalam kalangan syarikat-syarikat semikonduktor dan syarikat-syarikat berasaskan elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan sesi libat urus 66 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta bersama 12 kementerian TVET, di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya pelajar yang memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5 boleh memohon kemasukan ke universiti tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jelasnya, terdapat lima universiti yang menerima pengambilan pelajar berkenaan iaitu Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malayisa Perlis (UniMAP).

“Begitu juga untuk pelajar yang menamatkan penghafazan 30 juzuk di maahad tahfiz, kita juga tawarkan untuk mereka masuk ke universiti selain syahadah atau sijil dikeluarkan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Majlis TVET Negara juga menawarkan mana-mana lepasan maahad tahfiz yang mengikuti SKM 3, 4 dan 5, jika mereka berminat nak masuk universiti, maka golongan huffaz juga ditawarkan masuk ke universiti,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini