
Oleh: Ain Shafiqah Zaki
KUALA LUMPUR: Lagu Hening Rindu’nyanyian Marsha Milan dinobatkan sebagai juara Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), melakar sejarah sebagai kemenangan pertamanya sebagai juara di pentas berprestij itu.
Karya ciptaan komposer tersohor Ikhwan Fattana dan Wan Salleh, dengan lirik ditulis sepenuhnya oleh Wan Salleh, menambat hati juri sekali gus membolehkan Marsha membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai RM100,000.
Naib juara menjadi milik Nadeera menerusi lagu ‘Bukan Lagi Kita’, menandakan debut cemerlangnya di AJL. Dia menerima trofi dan wang tunai RM50,000.

Di tempat ketiga, Akim & The Majistret menyerlah dengan lagu ‘Saksama’, membawa pulang trofi dan wang tunai RM30,000.
Enie Zakri yang mempertaruhkan lagu Aura memenangi kategori Vokal Terbaik dan berjaya membawa pulang trofi dengan bersama wang tunai RM12,000.
Seterusnya, kategori Persembahan Terbaik yang menawarkan ganjaran wang tunai RM12,000 dan trofi menjadi milik Aina Abdul selepas mempamerkan persembahan berkonsepkan jantung.
AJL 39 dinilai Edry Abdul Halim selaku Ketua Juri dengan dibantu Edrie Hashim, Ed Samad, Datuk Ahmad Izham Omar, LY, Fauziah Latiff, Siti Hajar, Datuk Hattan dan Datuk Fauziah Nawi.
Lebih tiga dekad sejak penganjurannya, AJL bertujuan memartabatkan industri muzik tanah air terutama memberi penghormatan kepada komposer dan penulis lirik.
Diangkat sebagai acara muzik tahunan berprestij tempatan, AJL 39 mengetengahkan Nada Rasa sebagai konsep dan tema persembahan pada tahun ini.
AJL 39 menyaksikan gandingan antara Nazrudin Rahman dan Sissy Imann sebagai hos.
AJL 39 membuka tirai dengan persembahan daripada Wani Kayrie yang menyampaikan lagu Cindai diikuti Shiha Zikir (Asmaradana), Ara Johari (Tak Ada Logika) dan Noki K-Clique (Angkat).
Segmen Interlude dijayakan oleh penyanyi popular era 1990-an, Amir Ukays dengan menyampaikan lagu Pahit Akan Manis Akhirnya dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu.
Segmen itu kemudian disusuli dengan persembahan Sham Visa menyampaikan lagu Untukmu Selamanya dan Dalam Gerimis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.