
KUALA LUMPUR: Lantunan vokal Nadeera Zaini ketika menyampaikan lagu Bukan Lagi Kita di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-39, memukau ribuan penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.
Penangan lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh yang menjadi siulan ramai sejak akhir-akhir ini sememangnya dinantikan peminat untuk dinyanyikan secara langsung terutama di pentas berprestij seperti AJL.
Biarpun kali pertama beraksi di AJL, Nadeera sama sekali tidak goyah, malah boleh dikatakan persembahannya antara terbaik dan mampu mencabar sembilan finalis lain.
Bukan itu sahaja, Nadeera tampil dengan konsep persembahan unik apabila terdapat kain putih dijatuhkan sehingga menyelubunginya pada akhir persembahan, lantas mengundang sorakan gemuruh penonton.
Terdahulu, lagu Bukan Lagi Kita diramalkan sebagai lagu yang akan diangkat sebagai Juara Lagu, malah turut dijangka menjadi saingan terkuat bagi merebut trofi Vokal Terbaik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.