Tumpuan :
Nasional

AJL 37 : Sherry, Jihan melaram dengan busana ala Rupaul Drag Race

KUALA LUMPUR: Pengacara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37, Sherry Alhadad bakal mencuri perhatian penonton melalui busana yang diilhamkan daripada program realiti sensasi luar negara, Rupaul Drag Race.

Berkongsi keterujaaannya itu, Sherry atau nama sebenar, Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 38, tidak sabar untuk menggayakan busana yang boleh bertukar pelbagai gaya itu.

“Untuk penampilan malam itu nanti, saya dan Jihan Muse sudah sepakat untuk tampil dengan satu busana sahaja.

“Bagaimanapun, baju yang akan kami pakai nanti boleh bertukar pelbagai gaya. Sekejap jadi macam ini… sekejap jadi macam itu… Memang kreatiflah perekanya.

“Saya memang tidak sabar untuk melihat hasilnya dan menggayakannya pada malam itu nanti,” katanya kepada BH Online.

AJL 37 akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada jam 9 malam ini.

Mengulas persiapan yang sudah dilakukan, pengacara program The Sherry Show ini berkata selain apa yang disediakan dalam skrip, mereka juga perlu mencari informasi tambahan.

“Semalam kami pergi ke Axiata Arena untuk melihat sendiri persembahan finalis. Daripada situ, kami boleh dapat maklumat tambahan untuk dijadikan bahan.

“Jujurnya kami sangat gementar kerana AJL tahun ini kembali ke stadium dan disaksikan ramai penonton. Cuma saya harap, janganlah mengharapkan kami buat jenaka berlebihan kerana ini bukan program lawak.

“Ini adalah acara anugerah yang mengiktiraf komposer, penulis lirik dan penyanyi. Bagaimanapun unsur jenaka tetap ada untuk memeriahkan suasana,” ujar Sherry.

AJL 37 julung kali menggandingkan dua hos wanita bagi mengemudi acara bertemakan Dimensi Muzik itu.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini