Tumpuan :
Nasional

AJK masjid boleh mencarum dalam PERKESO

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam (dua kiri) bersama Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah (tengah) menyerahkan Jalur Gemilang kepada wakil sekolah sempena Jelajah Semarak Kemerdekaan Peringkat DUN Lumadan, di Beaufort. Foto NSTP/ ihsan pembaca.

BEAUFORT: Ramai ahli jawatankuasa (AJK) masjid termasuk imam dan guru agama di Sabah tidak menyedari mengenai skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang disediakan untuk mereka.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata AJK atau petugas masjid kini boleh dilindungi di bawah PERKESO, sama seperti pekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan lain.

Katanya, skim perlindungan PERKESO memberi banyak kebaikan dan manfaat kepada pencarum atau yang berdaftar dengan agensi itu, termasuk petugas masjid, khususnya jika berlaku musibah atau kemalangan.

“Saya difahamkan AJK masjid juga dilindungi di bawah PERKESO dan kosnya dibayar oleh kerajaan, namun kita tidak mengetahui mengenai skim perlindungan yang disediakan ini.”

“Jadi kita berharap mereka dapat mengambil peluang ini untuk mendaftar sebagai pencarum PERKESO,” katanya pada Majlis Penutupan Jelajah Semarak Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, di sini semalam.

Beliau yang juga Pembantu Menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Islam di negeri ini diminta mengulas mengenai kebajikan petugas masjid, khususnya berkaitan perlindungan insurans.

Difahamkan, petugas masjid, termasuk imam boleh menjadi pencarum PERKESO di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) sebagai perlindungan ketika melaksanakan tugas.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata kerajaan menyediakan dana yang besar untuk membantu rakyat mendaftar sebagai pencarum dalam skim perlindungan yang disediakan PERKESO.

“Kerajaan menanggung sebanyak 80 peratus pembayaran kepada setiap pencarum bagi meringankan bayaran ditanggung mereka yang berdaftar.”

“Tujuan PERKESO ini adalah untuk melindungi kita daripada kecelakaan dan beberapa perkara lain termasuk penyakit kronik.”

Sebagai contoh, jika seorang pencarum itu terlantar sakit dan perlu dirawat, PERKESO akan melindungi pencarum dengan memberi bayaran sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan selain keperluan lain,” katanya.

Beliau berkata, rakyat perlu tahu mengenai perkara itu dan mengambil peluang yang disediakan kerana ia adalah antara mekanisme kerajaan membantu rakyat yang menghadapi kesukaran hidup.

Loading...
Terkini