Tumpuan :
Nasional

Ajaran, amalan dalam GISBH sesat – Jawatankuasa Fatwa Melaka

AYER KEROH: Jawatankuasa Fatwa Melaka memutuskan ajaran dan kepercayaan dalam GISB Holdings (GISBH) adalah sesat dan tersasar daripada ajaran Islam sebenar serta Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati terdapat beberapa elemen ajaran dan kepercayaan pengikut dalam GISBH menyamai dengan amalan dalam kumpulan Al-Arqam yang diwartakan sesat pada 1994.

“Kita melihat ada amalan dalam GISBH menyamai dengan kegiatan Al-Arqam pimpinan Allahyarham Ashaari Muhamad yang mempunyai kefahaman, amalan dan wirid yang tidak jauh beza.

“Meski pun mereka menggunakan nama lain, tetapi ciri-ciri ajaran serta amalannya ada persamaan, khususnya daripada sudut kepercayaan, amalan, wirid dan juga pegangan (kepercayaan) mereka.

“Susulan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka memutuskan apa yang dibawa oleh kumpulan GISBH adalah bertentangan dengan hukum syarak. Justeru, kita sedang proses untuk tindakan selanjutnya iaitu membentangkan kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) seterusnya diangkat untuk mendapatkan perkenaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya.

Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil

Beliau ditemui selepas menghadiri Seminar Pendidikan Fatwa Kontemporari anjuran Jabatan Mufti Negeri Melaka Sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Melaka adalah negeri keempat yang memfatwakan ajaran dalam GISBH sebagai sesat dan menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengisytiharkan GISBH sebagai sesat kerana mempunyai unsur ajaran berkaitan batiniah yang menyeleweng, diikuti Selangor dan Pahang.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, pihak berkuasa agama khususnya Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan memfokuskan kepada langkah pemulihan kepada ahli GISBH yang mungkin sukar untuk kembali kepada pangkal jalan.

“Serentak itu, masyarakat Islam di Melaka diingatkan supaya sentiasa memastikan diri dan keluarga bebas daripada elemen ajaran sesat di negara ini yang dibawa oleh kumpulan tertentu,” katanya.

Jawatankuasa Fatwa Melaka dalam laporan sebelum ini memaklumkan, beberapa lagi ajaran difatwakan sesat kerana menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Ajaran itu termasuk Ajaran dan Fahaman Irwan Bin Alias, Ajaran Suhaini Bin Mohammad atau Ajaran Si Hulk, Amalan Dan Kaedah Perubatan Encik Adam Bin Isa (Tabib Adam) serta Ajaran Risalah Bab Kesucian yang dibawa oleh Wayang Hadi Kesumo (Hadi Minallah).

Jawatankuasa itu turut menetapkan semua umat Islam di Melaka wajib mengamalkan ajaran Kewajipan Berpegang Dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Senarai ajaran yang difatwakan sesat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka itu adalah tertakluk di bawah Seksyen 35 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002 yang dikemukakan oleh Mufti Melaka mengikut Subseksyen 36(3) serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Subseksyen 36(4) bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

Warta terbabit sudah dimaklumkan kepada kerajaan negeri mengikut Subseksyen 36(6) sekali gus membolehkan fatwa terbabit disiarkan dalam Warta di bawah subseksyen berkenaan dan Subseksyen 38(1).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini