comscore
Tumpuan :
Nasional

Ajal pulang kerja, lelaki maut dihempap pokok tumbang 

Anggota BBP Sik mengangkat seorang lelaki dipercayai dihempap pokok tumbang akibat ribut dan angin kencang di Kampung Bandar Hilir. – Foto: NSTP/IHSAN BOMBA

SIK: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dipercayai dihempap pokok tumbang ketika menunggang motosikal di Kampung Bandar Hilir, di sini hari ini.

Mangsa Mohd Rizal Aziz, 47, berasal dari Kampung Tanjung Besar, Mukim Teloi, di sini.

Difahamkan, isteri mangsa yang tiba di lokasi dipercayai hampir pengsan sebaik mengetahui kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6 petang tadi ketika ribut dan angin kencang melanda daerah ini.

Beliau berkata, angin kencang turut menyebabkan sebatang pokok di kawasan kejadian tumbang dan menghempap mangsa.

“Bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik kemudian mengarahkan Unit Kereta Peronda (MPV) ke lokasi untuk mengawal tempat kejadian.

“Pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik bersama pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik terbabit memberi bantuan dengan melakukan kerja-kerja pembersihan dan kawalan lalulintas di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdull Razak berkata, pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sik untuk tindakan lanjut.

“Mangsa dikatakan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeniang dan kejadian berlaku ketika dia hendak pulang ke rumah di Jalan Kubur, Bandar Hilir dari tempat kerjanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, beliau yang mengetuai operasi di lokasi kejadian bersama lapan anggota menggunakan gergaji berantai dua unit.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.57 petang.

“Anggota kami menggunakan gergaji untuk memotong dahan pokok dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini