Tumpuan :
Nasional

Ajal dua sahabat

FOTO: Ihsan Polis

PORT DICKSON: Dua sahabat maut, satu lagi parah apabila kereta yang di pandu hilang kawalan dan melanggar belakang sebuah lori tangki di Kilometer 27.2 Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) arah ke Port Dickson pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mustaffah Husin berkata, kemalangan itu berlaku pada jam 6.20 pagi tadi antara sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah lori tangki dari arah Seremban ke Port Dickson menyebabkan dua lelaki maut dan satu parah.

“Siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang lelaki berusia21 tahun itu dari arah Seremban menghala ke Port Dickson telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tangki yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun dari arah yang sama dan menyebabkan kereta mangsa berpusing lalu terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Pemandu dan penumpang belakang kereta Perodua Myvi mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang hadapan pula mengalami cedera ringan dan mendapat rawatan di Hospital Port Dickson,” katanya dalam satu kenyataan media di sini tadi.

Pemandu kereta yang maut berusia 21 tahun dan penumpang belakang lelaki yang maut berusia 20 tahun manakala rakan mereka yang cedera, lelaki berusia 26 tahun.

Namun pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Zulhelmi Azman di talian 016-9984806 atau boleh terus ke mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Mustaffah berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Penganfkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini