![](https://media.buletintv3.my/2022/12/PiedF3U7-pp-cms-2.jpg)
SEPANG: AirAsia memperkenalkan penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak dari 17 hingga 30 Januari 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam, berkata pihaknya terus komited untuk menghubungkan tetamu sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan datang dengan mengumumkan penerbangan tambahan istimewa itu.
“Penumpang boleh terbang dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri, serta dari Johor Bahru ke Kuching, Sibu dan Miri pada hanya RM199 sehala.
“Manakala dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan Tawau, serta Johor Bahru ke Kota Kinabalu pada hanya RM249 sehala. Semua tempat duduk akan tersedia untuk tempahan mulai hari ini.
“Selain 52 penerbangan tambahan istimewa pada tambang rendah tetap ke enam destinasi popular di Sabah dan Sarawak, AirAsia juga mengendalikan 274 penerbangan mingguan pada tambang biasa ke destinasi yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran penerbangan tambahan istimewa itu di ibu pejabatnya, hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.
Lingam berkata, sebagai syarikat penerbangan untuk semua, pihaknya sentiasa cuba melakukan yang terbaik untuk menghubungkan penumpangnya pada tambang berpatutan walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam operasi.
“Namun, di sebalik kos operasi yang semakin meningkat dan kekurangan jumlah pesawat, kami terus berusaha dan komited untuk menyatukan semula rakyat Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.
“Hari ini, kami berbesar hati kerana dapat mengumumkan penerbangan tambahan lewat malam istimewa pada tambang rendah tetap. Sebanyak 25,020 tempat duduk tambahan ke dan dari destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak tersedia untuk tempahan bagi tempoh perayaan akan datang,” katanya.
Tambahnya, inisiatif berkenaan tidak mungkin dapat dilancarkan tanpa dedikasi Allstars yang akan terus bekerja keras pada musim perayaan ini, serta pihak kerajaan atas bantuan mereka mendapatkan kelulusan untuk penerbangan tambahan lewat malam.
Sementara itu, Loke berkata, pihaknya berbesar hati kerana AirAsia terus komited untuk menyokong inisiatif kerajaan untuk menurunkan tambang penerbangan semasa musim perayaan, meskipun terdapat kekangan operasi.
“Kami menggalakkan syarikat penerbangan lain untuk turut melancarkan inisiatif yang sama atau lain yang boleh mengurangkan tambang penerbangan terutamanya semasa musim perayaan,” katanya.