KULAI : Sempena cuti sekolah, Air Terjun Gunung Pulai 1 antara yang menjadi pilihan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka bersantai sambil menikmati keindahan alam semulajadi.
Selain murah, kawasan tersebut yang redup dan sejuk menjadi daya tarikan ketika negara dilanda fenomena cuaca panas melampau ketika ini.
Menurut Suri Rumah, Maizatul Fatihah Abdul Razak, 26 tahun dari Ayer Baloi, Pontian, air terjun ini menjadi lokasi wajib setiap kali cuti sekolah.
Katanya dia bersama keluarga besarnya akan berkelah seawal jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Memang setiap kali cuti sekolah akan datang sini, suasana redup sebab banyak pokok, air pun bersih dan sejuk.”Anak-anak memang seronok mandi, makan lepas itu masuk semula ke dalam air mandi, sampai petang baru balik.” Tempat sini bersih, boleh bawa makanan sendiri berkelah tetapi saya lihat masing-masing yang bawa makanan akan bawa pulang sampah, jadi kawasan ini terjaga,”katanya.
Sementara itu, Pemilik Taman Warisan Gunung Pulai 1, Rahmat Abdul Wahid, 62 tahun berkata pada waktu cuti sekolah secara purata dianggarkan lebih 300 pengunjung akan mandi dan berkelah di kawasan ini.
Katanya cuaca panas tetapi disebabkan keliling kawasan ini dikelilingi pokok dan gunung, keadaan sedikit redup dan sejuk.
“Saya akan tutup jika keadaan hujan lebat sebab air akan keruh dan berbahaya kepada pengunjung. “Cuti sekolah memang ramai yang datang, hujung minggu lagi ramai boleh mencecah 600 pengunjung berdasarkan penjualan tiket, hari biasa cuti sekolah lebih kurang 300 pengunjung,”katanya.
Harga tiket bagi dewasa adalah RM3 manakala RM2 bagi kanak-kanak berumur tiga tahun ke atas.