comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Air Sungai Pahang kering, penternak ikan rugi

Keadaan sangkar ikan di Sungai Pahang berikutan fenomena air cetek dan kering. – FOTO: NSTP/Mohd Rafi Mamat.

MARAN: Pengusaha ternakan ikan sangkar di beberapa kampung di daerah ini rugi besar ekoran paras air Sungai Pahang cetek.

Keadaan berpunca daripada musim panas dan taburan hujan berkurangan sejak lebih dua bulan lalu.

Malah mereka tidak menduga jajaran Sungai Pahang akan kering dan membentuk beting pasir.

Pengusaha ternakan ikan sangkar, Rosmawati Sulaiman, 41, berkata dia kerugian lebih RM10,000 apabila lapan sangkar ikan milikinya terletak di Kampung Tanjung Berangan, Pesagi dekat Chenor, dekat sini, kini berada di atas beting pasir.

Menurutnya, keadaan semakin ketara sejak tiga minggu lalu apabila air yang terdapat dalam kawasan yang membentuk ‘kolam’ dalam Sungai Pahang semakin surut.

Keadaan itu menyebabkan banyak ikan patin dan tilapia yang diternak mati kerana kepanasan dan pencemaran air yang tidak mengalir.

Katanya, Sungai Pahang yang sebelum ini gah dengan kapasiti airnya banyak kini lesu dan seolah-olah terputus berikutan air sungai kering dan membentuk beting pasir yang luas.

Penduduk mendakwa kejadian itu tidak pernah terjadi sebelum ini.

“Situasi berkenaan bukan sahaja menjejaskan pendapatan pengusaha ternakan ikan sangkar tetapi turut membabitkan nelayan darat apabila banyak ikan mati akibat kekurangan oksigen apabila air semakin surut.

Faktor cuaca panas dan taburan hujan yang sedikit dalam jangka masa panjang di hulu Sungai Pahang menyebabkan air Sungai Pahang berkurangan akhirnya membentuk beting pasir yang luas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau berkata Sungai Pahang di kawasan berkenaan bercabang dua dengan air Sungai Pahang di Kampung Tanjung Berangan sahaja yang cetek dan kering sebaliknya Sungai Pahang di Kampung Paya Pasir yang terletak bersebelahan hampir tidak terjejas.

Rosmawati menambah banjir besar yang berlaku sebelum ini turut membawa pasir ke beberapa kawasan sepanjang Sungai Pahang di Kampung Tanjung Berangan dan beberapa kampung lain menyebabkan air sungai menjadi cetek dan kering hingga membentuk beting pasir.

Beliau mendakwa aktiviti menyedut pasir di Kampung Paya Pasir dapat membantu mendalamkan Sungai Pahang di kawasan terbabit.

Penternak ikan, Rosmawati Sulaiman kerugian lebih RM10,000 apabila ikan yang diternak dalam Sungai Pahang mati berikutan fenomena air cetek dan kering. – FOTO: NSTP/Mohd Rafi Mamat.

“Ribuan ikan patin dan tilapia yang saya ternak mati dan untuk mengelak kerugian lebih besar saya terpaksa menjual ikan dengan harga lebih rendah.

Ikan yang masih belum mencapai saiz pasaran dijual dengan harga RM16 sekilogram (kg) berbanding RM22kg sebelum ini.

Saya terpaksa menutup sementara operasi ternakan ikan sangkar bagi mengelakkan menanggung kerugian lebih besar, kemungkinan kembali beroperasi pada November depan bergantung kepada paras air Sungai Pahang,” katanya yang terbabit aktiviti menternak ikan sejak empat tahun lalu.

Bagi Jamil Awang Noh, 64, yang mengusahakan ternakan ikan sangkar di Kampung Sanding di sini berkata sejak Julai lalu air Sungai Pahang menjadi cetek dan kering.

Keadaan itu paling teruk sejak 1996.

“Saya kerugian kira-kira RM60,000 dalam tempoh 12 bulan apabila lebih berpuluh ribu benih patin dan tilapia yang dilepaskan sejak Ogos tahun lalu mati secara berperingkat disebabkan paras air Sungai Pahang menjadi cetek dan kering.

Saya dan penternak lain tidak pernah menduga apa yang berlaku kini, Sungai Pahang yang menjadi nadi kepada penduduk setempat sebelum ini kini lesu,” katanya yang berharap pihak kerajaan dapat membantu mengatasi masalah dihadapi.

Loading...
Terkini