Oleh: Khairul Rizuan Azizan
KUALA LUMPUR: Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menggerakkan lori tangki air ke 49 premis kritikal seperti hospital, klinik dan pusat dialisis di sekitar Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Petaling yang terjejas susulan pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Langat.
Tinjauan Buletin TV3 di salah sebuah pusat dialisis di ibu negara sebentar tadi mendapati lori tangki air dengan muatan seribu liter air tiba pada jam 12:30 tengah hari.
Jururawat di pusat dialisis berkenaan, Nor Nadia Ahmad berkata jumlah itu masih tidak mencukupi untuk rawatan harian pesakit.
“Kami merima sekurang-kurangnya 60 pesakit setiap hari. Seorang pesakit memerlukan 120 liter air bagi tempoh empat jam rawatan. Jadi dalam sehari lebih tujuh ribu liter air diperlukan,” katanya.
Tambahnya, mekipun pihak pengurusan telah bersedia dengan menyimpan bekalan air bersih untuk kegunaan di masa kecemasan, namun masih belum cukup untuk menampung proses rawatan pesakit dalam tempoh yang lama.
“Pesakit kami ramai. Setiap pesakit perlu terima rawatan tiga kali seminggu. Bekalan air yang kami simpan ini pun belum tentu cukup untuk proses rawatan dalam sehari,” katanya sambal berharap masalah gangguan air ini dapat diatasi segera.
Sementara itu Air Selangor di akaun Instagram memaklumkan, kerja-kerja penambahbaikan, penyenggaraan dan penggantian aset LRA Sungai Langat dijangka akan siap pada jam 7 malam ini.
Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya di semua Kawasan terjejas (Petaling, Kuala Lumpur dan Hulu Langat) pada jam 12:00 tengah hari, Khamis ini (12 Oktober).”