MASJID TANAH: Fenomena air pasang besar hari ini menyukarkan masyarakat Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi, di sini untuk meneruskan rutin kehidupan.
Air mulai naik pada jam 8 pagi tadi sebelum surut dua jam kemudian, sekali gus membebankan kehidupan harian peniaga di pekan Kuala Sungai Baru, selain menyebabkan nelayan di Kuala Linggi tidak dapat turun ke laut.
Selain itu, fenomena berkenaan turut menyebabkan laluan Kuala Linggi-Port Dickson, Negeri Sembilan dinaiki air setinggi kira-kira 0.38 meter.
Tinjauan di pekan Kuala Sungai Baru mendapati peniaga warung makan, Aminah Dayah, 57, terpaksa memasak dalam keadaan dapur dinaiki air.
“Saya tiba di warung pada jam 7 pagi dan air mulai naik sejam kemudian, menyebabkan saya terpaksa meredah air untuk memasak makanan seperti nasi goreng dan mi goreng.
“Air dari sungai di pangkalan nelayan berhampiran warung melimpah masuk ke dalam dapur tetapi saya tidak ada pilihan, selain terpaksa mengharung air untuk memasak,” katanya.
Bagaimanapun, dia berkata, air pasang besar hari ini tidak seteruk pada November tahun lalu yang menyebabkannya terpaksa menutup kedai lima hari.
Nelayan di Kuala Linggi, Sabri Ahmad, 56, berkata dia tidak mampu turun ke laut berikutan angin kencang sejak jam 6 pagi tadi dan terpaksa mengikat perahu dengan lebih kuat bagi mengelakkannya hanyut.
“Angin barat turun dengan kuat pagi ini dan saya tidak mampu turun ke laut kerana sudah melihat pokok angin di kaki langit sebelah barat semakin meninggi yang menandakan ribut akan turun.
“Saya terpaksa memperkemas ikatan tali perahu pada tiang konkrit di pantai bagi memastikan perahu tidak hanyut dibawa arus air pasang besar dan angin kencang,” katanya.
Bagaimanapun, dia menarik nafas lega apabila air beransur-ansur surut pada jam 10 pagi ini tetapi tetap berjaga-jaga berikutan angin kencang masih belum reda.
Selain itu, pengguna kenderaan, terutama penunggang motosikal dan pemandu kereta terpaksa menunggu hingga air beransur surut di laluan Kuala Linggi-Port Dickson.
Mekanik, Sazali Mohd Ali, 45, berkata dia menghubungi majikannya di Port Dickson bagi memaklumkan kelewatannya memulakan kerja berikutan jalan dinaiki air.
Katanya, laluan berkenaan sering dinaiki air setiap kali Kuala Linggi mengalami air pasang besar pada hujung tahun.- BERITA HARIAN