comscore
Tumpuan :
Nasional

Air pasang besar cecah 3.6 meter, 20 mangsa banjir berpindah ke PPS di Perlis

Orang ramai meredah banjir akibat air pasang besar di Kampung Tengah, Seberang Ramai, Kuala Perlis awal pagi tadi. – FOTO: NSTP

KANGAR: 20 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Institut Kemahiran Bina Negara (IKBN) Kuala Perlis awal pagi ini selepas kediaman mereka di Kampung Baru, Kuala Perlis dinaiki air susulan fenomena air pasang besar.

Kejadian air pasang besar di Perlis berlaku sejak Rabu lalu dengan kejadian terbaru berlaku awal pagi tadi membabitkan ketinggian air mencecah paras 3.6 meter dan dijangka berlaku lagi esok pagi dengan ramalan ketinggian air sehingga 3.7 meter.

Pegawai Operasi Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Saifuddin Abdullah, berkata 20 mangsa banjir termasuk dua warga emas dan seorang kanak-kanak itu dipindahkan selepas PPS berkenaan dibuka jam 2.30 pagi tadi.

Beliau berkata, sebanyak 33 anggota APM dari ibu pejabat APM negeri dan daerah di Kangar, Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis dikerah melakukan tinjauan fenomena air pasang besar yang berlaku.

“Kita turut menggunakan sembilan aset iaitu lori dan kenderaan pacuan empat roda melakukan pemantauan di sekitar pesisir pantai Kuala Perlis sehingga ke kawasan Kuala Sanglang.

“Pemantauan kita mendapati fenomena air pasang besar yang berlaku sejak semalam berlaku sekali lagi pagi ini dengan paras air setinggi 3.6 meter.

“Penduduk yang terjejas kemudian kita pindahkan ke PPS yang diaktifkan dalam perbincangan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, fenomena air pasang besar yang berlaku di sekitar Seberang Ramai di Kuala Perlis awal pagi ini menyebabkan beberapa kampung dinaiki air hingga ke paras betis.

Tinjauan mendapati beberapa kampung di Seberang Ramai seperti Kampung Pulau Ketam, Kampung Seberang Alor, Kampung Tengah, Kampung Hujung, Kampung Tanah Baru dan beberapa kampung berhampiran mula dinaiki air laut pada kira-kira jam 11.30 malam hingga kemuncaknya pada jam 12.40 tengah malam apabila air laut melimpah ke kawasan kampung yang terkenal dalam kalangan pelancong sebagai Kampung Warna Warni.

Malah Dataran Semarak Kampung Tengah dan Medan Selera Koma Laut, Kuala Perlis yang menempatkan premis makanan, dewan orang ramai serta parkir kereta juga turut dinaiki air.

Jadual ramalan fenomena air pasang besar dan arahan dikeluarkan pihak berkuasa mengenai kejadian itu sebelum ini membantu penduduk melakukan persiapan dengan meletakkan barangan atau dokumen penting di tempat selamat.

Penduduk, Wan Shahriman Wan Ali, 56, dari Kampung Tengah, Seberang Ramai berkata, air mula memasuki kediaman penduduk sedikit demi sedikit pada kira-kira jam 10 malam hingga ia memenuhi kediaman penduduk di kampung itu dalam tempoh dua jam kemudian.

“Kita sudah dimaklumkan oleh pihak berkuasa mengenai fenomena ini dan sudah bersedia dengan segala kemungkinan kerana ini fenomena tahunan setiap kali berlaku musim monsun.

“Rumah saya turut dinaiki air, namun sejak siang lagi sudah memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi kerana kita tahu air pasang akan memasuki rumah penduduk termasuk jeti nelayan di sini,” katanya.

Air kemudian surut secara berperingkat sekitar jam 2 pagi hingga jam 3.30 pagi.

Rakannya, Mohd Khairi Abdul Aziz, 45, berkata, penduduk di kampung ini bertindak awal mengalihkan barangan penting ke tempat selamat.

“Kita menjangka fenomena air pasang ini berlaku lagi malam ini kerana ini situasi setiap tahun yang dialami penduduk di kawasan kampung ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini