comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Air Merah’ di perairan Teluk Bahang bukan toksin

GEORGE TOWN: Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung mendapati fenomena ‘air merah’ di perairan Teluk Bahang disebabkan alga spesis ‘Noctiluca Scintillans’.

Berdasarkan keputusan awal analisis dilakukan itu sekali gus mendapati ia bukan toksin serta tidak berbahaya kepada manusia.

Jurucakap Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang berkata, namun begitu kepadatan sel fitoplankton itu sangat tinggi iaitu 1-5 juta sel/liter yang mengesahkan berlaku ledakan alga di perairan ini.

Kepadatan sel fitoplankton yang tinggi boleh menyebabkan kematian ikan terutama dalam sangkar akibat penurunan oksigen terlarut dan alga juga meliputi insang sehingga menyebabkan ikan tidak mendapat oksigen.

“Jabatan Perikanan akan terus mengambil sampel secara berkala bagi memantau kepadatan alga spesies Noctiluca scintillans sehingga ia mencapai paras yang selamat.

“Beberapa langkah mitigasi dicadangkan kepada penternak sangkar ikan seperti perlu tuai segera semua ikan yang bersaiz pasaran jika ada tanda ikan lemas atau mati.

“Kepadatan ikan dalam sangkar perlu dikurangkan dengan dipindahkan ke sangkar lain dan pantau kandungan oksigen terlarut serta tambah pengudaraan kepada ikan bagi menyelamat ikan ternakan yang masih hidup demi mengelak pertambahan kerugian dialami oleh penternak,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Untuk rekod, Noctiluca Scintillans pernah menyebabkan ledakan sehingga air laut menjadi merah jambu dan ikan dalam sangkar mati di Kuala Gula, Perak pada 2016.

Kelmarin, media melaporkan mengenai kematian ribuan ikan yang terapung di Teluk Bahang sejak Sabtu lalu.

Loading...
Terkini