KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan Wings, Datuk Awie akhirnya bertemu dengan dua anaknya, Putra Ahmad Rezzki, 15, dan Putri Qasseh Antasha, 13, selepas lapan tahun terpisah.
Gambar pertemuan selama dua hari iaitu kelmarin dan semalam itu dimuat naik Awie menerusi hantaran di Facebook .
Pertemuan itu turut disertai isterinya, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin dan anak lelaki mereka serta tiga lagi anak Awie iaitu Putri Aleeya Antasha, 23, Putri Aleefa Antasha, 21, dan Putra Ahmad Merrah, 16.
Menerusi gambar dikongsikan, Awie dilihat berkumpul bersama anak-anaknya di sebuah hotel.
Bekas isterinya, Rozana turut kelihatan dalam pertemuan itu.
Awie juga dilihat meluangkan masa melihat anak-anaknya mandi di kolam renang.
“Terima kasih Allah kerana mendengar doa-doaku. Sekian lama terpisah akhirnya dapat aku bertemu dengan anak-anakku. Syukur Ya Allah.
“Air mata menjadi saksi. Rinduku berbalas. Anak-anakku dunia akhirat. Moga bahagia hingga ke jannah. Terima kasih isteriku. Terima kasih kepada ibu anak-anakku.
“Moga ini menjadi titik permulaan baik untuk semua. Allahuakbar,” tulisnya.
Terdahulu, Awie ketika ditemui pada malam gala filem terbitannya, Sue-On berkata, sambutan Aidiladha tahun ini paling bermakna kerana mungkin dapat bertemu dengan Rezzki dan Qasseh yang kini di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.
Menerusi perkahwinan dengan Rozana pada 20 Jun 2005, mereka juga dikurniakan seorang lagi anak iaitu Merrah.
Awie dan Rozana bercerai pada 1 November 2014 dan Merrah kini tinggal bersama Awie.
Awie juga memiliki dua cahaya mata menerusi perkahwinan pertama dengan penyanyi, Arni Nazira iaitu Putri Aleeya Antasha dan Putri Aleefa Antasha.
Pada 7 Oktober 2016, Awie mendirikan rumah tangga bersama Sharifah Ladyana dan dikurniakan seorang anak lelaki pada 2020.