comscore
Tumpuan :
Nasional

Air keruh, berkeladak ganggu pengusaha pelancongan di sekitar Pantai Cenang

Air yang ditadah terus dari paip tidak dapat digunakan untuk tujuan membuat minuman.

Oleh: Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Setiap kali musim kemarau, pengusaha pelancongan di sekitar Pantai Cenang di sini terpaksa berhadapan kesukaran dalam menyediakan kemudahan air bersih kepada pelancong.

Ini disebabkan keadaan air yang berkeladak, dan keruh sehingga menjejaskan urusan harian ramai pengusaha rumah inap, atau hotel di kawasan itu.

Pengusaha penginapan, Kesawan Thopasamy yang lazimnya menerima pelanggan di kalangan warga Eropah terpaksa membelanjakan hampir RM800 setiap bulan bagi menyediakan sistem tapisan air.

“Aduan sudah dibuat kepada Syarikat Air Darul Aman Sendirian Berhad (SADA) beberapa kali. Namun, apa yang dibuat hanyalah proses pelepasan air (flush out) sehingga air jernih. Kaedah ini tidak membantu kerana air akan kembali keruh selepas beberapa hari.”

“Kami mahukan satu penyelesaian jangka masa panjang. Ia perlu dilakukan segera kerana kami sering menerima tempahan saat akhir dari pelancong luar yang lazimnya membuat pengembaraan mengelilingi Asia Tenggara,” katanya.

Haibel Nerzan dan Kesawan Thopasamy antara pengendali rumah penginapan yang terjejas akibat penarafan yang rendah dalam platform tempahan, kesan dari keadaan air keruh.

Petugas penginapan, Haibel Nerzan pula menjelaskan segala khidmat baik yang diberikan kepada pelanggan tercalar kesan daripada masalah air ini.

“Masalah ini di luar kawalan kami. Walau sebaik manapun perkhidmatan yang kami sediakan kepada pelanggan, penarafan yang diberikan di banyak platform tempahan penginapan atas talian mula merosot kerana masalah air ini.”

“Rata-rata pelanggan yang meninggalkan penarafan yang rendah memberikan alasan yang sama. Ini akan mempengaruhi pelancong yang ingin membuat tempahan di sekitar Pantai Cenang ini,” katanya.

Tinjauan mendapati pengusaha terpaksa mengambil pelbagai pendekatan bagi memastikan keselesaan pelanggan.

Antaranya termasuk membelanjakan wang tambahan bagi membeli kuib pewarna bagi diletakkan dalam tangki tandas, bagi memastikan warna air yang keruh dapat dipudarkan.

Malah, ada pegusaha yang terpaksa membeli air minuman kerana penapis air rosak akibat dari keadaan air yang terlalu keruh.

Buletin TV3 telah menghubungi jurucakap SADA bagi mendapatkan kenyataan daripada operator perkhidmatan air itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini