IPOH: Air keruh dan arus deras menyukarkan usaha untuk mengesan kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Teratak River View Lubuk Hantu, Teratak River View Lubuk Hantu, Simpang Empat, Tanjung Malim, Sabtu lalu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pada jam 4 pagi semalam, hujan lebat sehingga jam 7 pagi menyebabkan arus deras, selain lubuk kawasan yang ditumpukan kesemuanya keruh menyukarkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman.
Beliau berkata, bagaimanapun didapati cuaca baik pada hari ini dengan air lebih jernih dan arus tidak deras berbanding semalam.
“Ini sungai berjeram, maka bukan sepanjang sungai ini dalam. Jadi dia ada lubuk tertentu sahaja, kita pun bukan nak menyelam semua tempat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Memasuki hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR), Sabarodzi berkata misi itu diteruskan kira-kira jam 8.30 pagi ini membabitkan 24 anggota bomba termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim, (BBP) Tanjung Malim BBP Tanjung Malim, PPDA dari Ipoh, Kuala Kangsar dan Teluk Intan.
Penggunaan khidmat anjing pengesan (K9) bagi membantu mengesan mangsa juga diteruskan pagi ini, secara keseluruhan melibatkan 52 anggota lain-lain agensi.
Beliau berkata, pihaknya turut mewujudkan “trap point” dalam strategi dan taktikal menyelamat sejauh 2.5 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Tubuh badan manusia ini kalau lemas, dalam tempoh 24 jam dia akan timbul. Malam tadi, kita risau dia (mangsa) dah lebih 24 jam, mungkin dia timbul,” katanya.
Pada masa sama, Sabarodzi berkata mangsa Edward Grang Anak Jenggut yang berusia lapan tahun dan berasal dari Sarawak adalah anak kedua daripada tiga beradik.
Menurutnya, mangsa ke lokasi itu untuk berkhemah bersama keluarganya sempena cuti sekolah minggu lalu dan sepatutnya pulang pada petang hari kejadian.
Pada Sabtu, bomba menerima maklumat mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai dengan berpakaian set baju renang berwarna hitam bertompok hijau ketika hilang pada 5.06 petang. – BERNAMA