Oleh Kumaran Rajamoney
JITRA: Bulan Ramadan adalah bulan bagi umat Islam menggandakan amal jariah dan kebaikan, janji Allah itu pasti bagi mereka yang memperbanyakkan sedekah di bulan yang mulia.
Bazar Ramadan di Taman Mahsuri, di sini menjadi lokasi bagi sepasang suami isteri menjadi orang tengah dalam merealisasikan hasrat orang ramai bersedekah dengan menyediakan air jagung balang secara percuma setiap hari.
Seawal jam 4 petang, orang ramai mula berpusu-pusu bagi mendapatkan air jagung yang tular kerana keenakannya, apatah lagi bila ia disediakan secara percuma.
Zulfahmi Shariff, 36 berkata, sumbangan melibatkan lima balang air setiap hari oleh lebih 80 penyumbang individu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) sepanjang Ramadan tahun ini.
“Saya bersama Isteri (Suraya Ayob, 41) sekadar menunaikan amanah yang telah disampaikan kepada kami oleh penyumbang ini bagi memastikan orang ramai dapat menikmati air secara percuma setiap hari.”
“Kami hadkan setakat 5 balang air, bagi membolehkan peniaga lain di sini tidak terkesan dengan pemberian yang dilakukan secara percuma. lazimnya infak air ini selesai seawal jam 4.30 petang.”
Kaedah infak ini juga katanya, telah memberikan inspirasi kepada penyumbang untuk membuat sumbangan menerusi peniaga di beberapa lokasi lain.
Bagi pengunjung bazar, Tengku Muniza Tengku Izhar, 44, meskipun sumbangan yang diberikan kecil dari bentuk nilai, namun ianya membawa makna yang besar.
“Air merupakan perkara pertama yang terlintas dalam fikiran mereka yang berpuasa. Jadi, Sumbangan sebegini dapat memberikan kemudahan kepada para penyumbang yang tiada ruang untuk melakukan sumbangan selama ini.”
Musa Bakar, 62 yang juga meniaga di lokasi sama berpendapat pemberian percuma itu mempromosikan bazar Taman Mahsuri.
“Orang yang datang ke gerai air percuma ini akan turut singgah dan dapatkan juadah lain di sini. Sedikit sebanyak kami merasai limpahan rezeki dari sedekah air ini.”
Berbeza dengan tahun sebelumnya, pengunjung gerai edaran air ini berkesempatan memenangi hadiah istimewa yang disediakan menerusi pertandingan di aplikasi TikTok.
Pertandingan akan diadakan sehingga 26 Ramadan dan pemenang akan diumumkan sebelum sambutan Hari raya Aidilfitri.