
JELEBU: “Saya tersedar daripada tidur sebelum terbau lumpur. Sebaik turun dari katil, air sudah separas pinggang.
“Tidak lama kemudian, air mencecah paras dada menyebabkan saya berpaut pada sofa,” kata Zaidah Zainal, 72, dari Kampung Sepri di sini, semalam.
Terdahulu, kediaman Zaidah ditenggelami banjir kilat yang melanda pada awal pagi.
Dia berdepan detik cemas itu sebelum diselamatkan kira-kira setengah jam kemudian oleh penduduk kampung.
“Ketika kejadian, saya berseorangan di rumah sebelum tersedar jam 3 pagi dan terbau lumpur.
“Walaupun dalam keadaan air sudah separas pinggang, saya gagahkan diri untuk menyelamatkan dokumen penting dan ubat-ubatan,” katanya.
Menurutnya yang ditemui di Pusat Pemindahan Sementara D’Sury Kuala Klawang, banjir kilat itu kali kedua dialaminya dengan kali pertama pada 2021.
“Saya bersyukur kerana selamat dan terima kasih kepada penduduk yang membantu,” katanya.
Kakitangan awam, Rahmat Abd Rahman, 54, dari Taman Bandar Tinggi di sini berkata, banjir kilat itu bukan disebabkan limpahan air sungai sebaliknya berikutan tebing sebuah ladang berhampiran runtuh.
“Banjir lumpur itu memasuki rumah sehingga separas lutut dan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jelebu Leftenan (PA) Mohd Najib Abdul Karim berkata, 88 mangsa daripada 22 keluarga ditempatkan di PPS D’Sury.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.