KUALA BERANG: Walaupun sudah mempunyai kemudahan air bersih, penduduk Kampung Payang Kayu di sini lebih gemar menggunakan air bukit sebagai sumber alternatif untuk kegunaan harian mereka.
Mustaffa Taib, 58, berkata penduduk di kampung itu sudah menggunakan air bukit sejak 40 tahun lalu.
Menurutnya, punca air diambil di kawasan Air Terjun Bukit Tinggi yang terletak kira-kira 2.5 kilometer (km) dari kampung itu.
Ia dilakukan dengan menggunakan sistem mini empangan bagi membolehkan air yang ditakung disalur terus ke rumah penduduk melalui sistem paip.
“Kita (pengurusan kampung) melantik seorang penduduk untuk menjaga mini empangan berkenaan dan setiap masa penjaga akan memantau mini empangan terbabit,” katanya.
Tambah Mustaffa, penjaga pula diupah dengan kadar RM800 setahun untuk menjaga kawasan punca air berkenaan dan sekiranya air didapati perlahan maka kerja membersihkan akan dilakukan.
“Setiap tahun tiga hingga empat kali kerja selenggara dijalankan bagi menjamin bekalan air bukit yang bersih dapat dibekalkan terus ke rumah penduduk,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa (Peruntukan/Hasil) menjaga sistem paip air bukit di kampung itu.
Jelas Mustaffa, setakat ini sebanyak 98 buah rumah atau lebih 500 orang penduduk Kampung Payang Kayu menggunakan sistem air bukit yang diambil dari Air Terjun Bukit Tinggi.
Mustaffa ditemui pada Program Menyantuni Masyarkat Desa Bekalan Air Bukit Bersih di Kampung Payang Kayu, di sini.
Menurutnya, setiap tahun RM5,000 hingga RM7,000 wang bantuan yang diperoleh daripada syarikat korporat digunakan untuk kerja-kerja menyelenggara sistem paip berkenaan.
Tambah melegakannya apabila setiap kerja menyelenggara dilakukan secara gotong royong.
Penduduk, Mohd Yahya, 62, berkata kemudahan air bukit yang disalurkan terus ke rumah dapat menjimatkan sedikit perbelanjaan kerana tiada bil yang perlu dibayar setiap bulan.
“Malah air bukit amat berguna sekiranya tiba musim kemarau yang mana penggunaan air melalui sistem paip kerajaan akan meningkat hingga mengakibatkan tekanan menjadi rendah dan air yang keluar pula perlahan,” katanya.
Menurutnya, air dari bukit boleh digunakan dalam kuantiti banyak walaupun pada musim kemarau kerana ia ditadah terus dari kawasan air terjun.
Jirannya, Itie Latif, 59, berkata air bukit digunakan lebih kerap terutama pada musim seperti sekarang (musim panas) kerana ianya percuma dan bekalannya pula tidak pernah terputus.
“Kalau digunakan untuk mandi ia amat sesuai kerana suhu air yang sejuk dapat menyegarkan badan dan menyebabkan saya memilih untuk turut sama menggunakan bekalan air bukit walaupun air paip yang disediakan kerajaan sudah ada,” ujarnya.
Menurutnya, musim peralihan monsun yang membawa musim panas mendorong meningkatnya penggunaan air dan dia memilih menggunakan air bukit sebagai alternatif bagi mengurangkan penggunaan air paip kerajaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.