comscore
Tumpuan :
Bencana

Air bah sudah melarat ke selatan Batu Pahat

Anggota polis dari Balai Senggarang menyelamatkan kucing peliharaan milik penduduk yang terjejas banjir di Kampung Seri Menanti Laut, Senggarang, Batu Pahat Johor.

BATU PAHAT: Banjir yang melanda daerah ini sejak 1 Mac lalu kini melarat ke kawasan Senggarang, sejak semalam.

Selepas Yong Peng, Sri Medan, Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam dilanda bah yang menenggelamkan beberapa kampung sejak awal bulan lalu, kawasan di Senggarang pula menerima nasib sama.

Tinjauan mendapati air banjir yang semakin tinggi memaksa ratusan penduduk Senggarang dipindahkan sejak semalam.

Penduduk terjejas, Musripah Mardi, 52, dari Kampung Sri Menanti Laut, berkata banjir melanda Senggarang ketika ini adalah selepas 17 tahun iaitu selepas banjir besar 2006.

“Apabila hujan lebat hampir empat hari sejak 27 Februari lalu, saya dan penduduk lain di Senggarang memang risau kerana teringatkan bah besar 2006 lalu.

“Apabila berita memaklumkan kawaaan Chaah di Segamat, serta Yong Peng, Parit Sulong dan Sri Medan dilanda bah besar, kami sudah tahu air bah akhirnya akan turun ke kawasan Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam sebelum ke Senggarang ini.

“Kami penduduk mula mengemas barangan sejak banjir di Sri Medan dilaporkan makin teruk. Air bah mula melanda Senggarang sejak kelmarin dan memasuki rumah penduduk, semalam.

“Berikutan air bah yang semakin tinggi antara 0.3 hingga 0.4 meter, pihak berkuasa mengarahkan penduduk di Senggarang mula berpindah sejak semalam,” katanya ketika ditemui.

Banjir yang melanda Johor sejak 1 Mac lalu disifatkan antara bencana banjir terburuk pernah dialami negeri itu selepas bah besar 2006.

Angka terkini mangsa terjejas di negeri ini membabitkan 42,706 penduduk daripada 12,047 keluarga di 152 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas.

Batu Pahat merekodkan mangsa banjir terbesar apabila ia melonjak ke 39,944 daripada 11,141 keluarga di 115 PPS.

Dalam pada itu, Musripah berkata, beliau dan keluarga risau jika banjir besar ini akan menyebabkan situasi banjir termenung yang dialami pada 2006.

“Kali terakhir banjir besar melanda 17 tahun lalu menyebabkan banjir termenung yang berlarutan sehingga lebih dua bulan.

“Melihat paras air bah yang makin naik dengan jumlah mangsa terus meningkat, saya dan penduduk di Senggarang risau jika banjir tidak surut menjelang Ramadan nanti.

“Berpuasa di PPS mana sama dan selesa dengan berpuasa di rumah sendiri,” katanya.

Loading...
Terkini