KUALA LUMPUR : Keadaan kesihatan Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, kanak-kanak yang pernah menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor semakin baik.
Perkembangan terbaru Ainul Mardhiah itu dikongsi ibunya Nurul Erwani Zaidi menerusi hantaran di Instagram, pagi ini.
“Pagi ini, Ainul dah start (mula) minum susu. Dua hari dah Ainul puasa tak dapat minum susu.
“Mama yakin keadaan Ainul semakin baik. Ainul belum sedar lagi. Ubat tidur masih run (jalan) sebab Ainul tengah on ventilator (dipasang alat bantuan pernafasan).
“Ainul tak boleh sedar lagi sebab tak nak bagi Ainul penat bila tengah on ventilator.
“Jangan risau semua, Ainul tengah stabil, teruskan doa untuk Ainul ye,” katanya memaklumkan keadaan Ainul semakin baik selepas pemeriksaan darah dan x-ray.
Menerusi hantaran sama, Nurul Erwani berkata, anaknya itu tetap aktif walaupun tidak sihat termasuk ketika dijangkiti Covid-19 baru-baru ini.
Katanya, sebarang perkembangan terkini mengenai kesihatan Ainul Mardhiah akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Kisah penderitaan Ainul Mardhiah mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantu menjalankan pembedahan di London, United Kingdom (UK), bagi membuang tumor seberat 200 gram daripada mulutnya ketika kanak-kanak itu berusia sembilan bulan pada Jun 2019. – HARIAN METRO