SHAH ALAM: Aina Abdul tetap memberikan persembahan terbaik dan memukau pada saingan hari pertama Separuh Akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung di Studio 1 Glenmarie, di sini, hari ini, walaupun berdepan masalah kesihatan.
Aina yang berjaya membawakan lagu hasil ciptaan sepenuhnya, ‘Jangan Mati Rasa Itu’ sehingga diangkat sebagai Lagu Terbaik pada saingan hari pertama berkata, kesihatannya mula merosot selepas menjayakan konsert solo ‘A Night With Aina Abdul 3.0’ pada 18 November lalu.
“Saya memang kurang sihat sepanjang minggu ini. Kebiasaannya sebaik saja selesai tugas besar seperti konsert, saya pasti akan rasa tak sedap badan dan jatuh sakit.
“Tambah pula, selepas konsert itu saya belum ada masa untuk berehat panjang. Walaupun saya suka bekerja, tapi saya akui perlu mendapatkan rehat dengan secukupnya.
“Saya sudah berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Saya ikut segala nasihat doktor menjelang persembahan hari ini.
“Saya sebenarnya bukan demam, tapi ada masalah sistem penghadaman. Saya tak boleh makan makanan pejal, hanya makanan berair saja,” katanya.
Dalam pada itu, Aina meluahkan rasa syukur apabila lagu ‘Jangan Mati Rasa Itu’ diumumkan sebagai lagu terbaik dan lagu Pilihan Alha Alfa pada saingan hari pertama, hari ini.
“Saya bersyukur dan tak sangka. Saya datang hari ini hanya nak menyanyi dan menghiburkan peminat saya.
“Apabila diberi penghargaan daripada juri dan peminat, saya begitu terharu dan dalam masa sama berasa sebak.
“Lagu-lagu yang bertanding pada hari pertama ini juga sangat hebat, ada yang lagu saya minat dan penyanyi yang suka,” katanya.
Ditanya mengenai siapakah pesaing terdekat pada hari pertama SFMM38, Aina berkata, lagu ‘Waktu’ nyanyian Ziana Zain dan Hasif Upin mempunyai kehebatan yang luar biasa.
“Saya suka lagu ‘Waktu’ nyanyian kak Ziana dan Hasif Upin. Bukan hanya sebab lagu, tetapi sebab saya sendiri obses dengan kak Ziana.
“Saya sayang kak Ziana, dia juga sering memberi sokongan pada kerjaya seni saya. Dia juga anggap saya macam adik,” katanya.