KUALA LUMPUR : Penyanyi Aina Abdul bersyukur Konsert ‘A Night With Aina Abdul #Uniedition’ di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, malam tadi, berlangsung seperti dirancang.
Aina lega persembahan di UM dapat diteruskan ketika warga universiti kecoh dengan perkembangan terkini berhubung tindakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengeluarkan surat arahan pembatalan semua program konsert di seluruh universiti awam (UA), termasuk UM, sejak kelmarin.
Penyanyi Terus Hidup itu berterima kasih kepada maestro muzik, Datuk Mokhzani atas bantuannya, konsert yang dianjurkan di Dewan Canselor, UM, dapat diteruskan.
“Saya mendapat tahu mengenai surat arahan dikeluarkan KPT, Jumaat lalu, ketika membuat latihan bersama Mac Chew.
“Ketika itu, saya takut segala persiapan sudah hampir siap dan tinggal 20 peratus sahaja sebelum menjelang konsert.
“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Mokhzani kerana atas bantuan beliau yang berbincang dengan pihak tertentu, konsert di UM dapat diteruskan,” katanya.
Bagi memastikan penganjuran konsert itu tidak dipertikai, Aina yang mendendangkan 10 lagu antaranya Semalam, Sepi dan Sumpah, malam tadi, mematuhi garis panduan ditetapkan UM.
“Alhamdulillah, kami patuhi syarat ditetapkan universiti antaranya penonton tidak boleh berdiri sepanjang konsert.
“Biar apapun syarat ditetapkan, saya perlu harungi. Walaupun semua penonton duduk, saya terharu kerana mereka bertenaga,” katanya lagi.
Konsert A Night With Aina Abdul #Uniedition tercetus selepas persembahan A Night With Aina Abdul dan A Night With Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya, pada Jun tahun lalu.
Aina merealisasikan projek konsert di institusi pengajian tinggi (IPT) berikutan rungutan penuntut berhubung harga tiket mahal.
Tiket A Night With Aina Abdul #Uniedition di UM ditawarkan pada harga RM60, RM75 dan RM100.
Malah, 200 kerusi tambahan yang ditawarkan pada saat akhir konsert ‘licin’ dibeli penuntut UM.
“Saya cuba nasib dengan menghantar permohonan kepada hampir tujuh universiti.
UM adalah universiti pertama yang berminat dan membenarkan saya mengadakan konsert.
“Selepas tiket di UM mula dijual, barulah universiti lain mula menunjukkan minat. Tetapi saya hanya dapat mementaskan konsert di dua universiti lain, tahun ini.
“Jelajah di IPTA seterusnya disambung tahun depan kerana saya akan sibuk dengan persiapan konsert A Night With Aina Abdul 3.0 di Arena Axiata, Bukit Jalil, pada 18 November depan,” katanya.