SHAH ALAM: Ain Husniza Saiful Nizam yang berdepan isu dakwaan gurauan keterlaluan seorang guru berkait perbuatan rogol sebelum ini berkongsi keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.
Remaja berusia 18 tahun itu berkongsi berita gembira meraih keputusan 7A 1B, dalam ciapan Twitter miliknya yang mengaku tertekan ketika menduduki peperiksaan terbabit berikutan dilontarkan pelbagai kecaman oleh netizen.
Berdasarkan ciapan itu, Ain Husniza mencatatkan keputusan A dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Sains, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, dan Pendidikan Seni Visual, selain memperoleh B untuk Matematik.
“Saya tidak boleh cerita macam mana tertekannya saya sewaktu SPM yang mana mereka beritahu saya tidak ada berkat dalam pelajaran, ilmu yang saya peroleh adalah haram, dan berterusan mengharapkan saya gagal dalam pelajaran.
“Mereka juga menyindir tubuh badan saya dan menjatuhkan saya di setiap sudut yang mereka boleh,” katanya dalam ciapan itu, semalam.
Malah, Ain Husniza turut kongsikan tangkap layar komen salah seorang netizen didakwa mengecamnya sebelum ini dan merupakan antara ratusan warga siber yang mendoakan kegagalan beliau.
“Bila membaca mesej itu, saya berjanji kepada diri sendiri bahawa saya akan membuktikan mereka salah.
“Ain tak pandai. Ain tak pernah dapat keputusan seperti ini. Bagaimanapun, Ain percaya ini semua berkat semua guru yang mengajar dan rakan-rakan yang saya temui sepanjang perjalanan saya.
Susulan perkongsiannya itu, ia turut menjadi ‘trending’ di Twitter.