comscore
Tumpuan :
Nasional

AIGE rujukan laksana undang-undang AI – Lih Kang

Oleh: Afrina Romzi

PUTRAJAYA: Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) bakal menjadi rujukan untuk kerajaan sekiranya terdapat keperluan untuk menggubal undang-undang kecerdasan buatan (AI) akan datang.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata sebelum menggubal undang-undang, beliau berharap AIGE menjadi rujukan kepada kerajaan, agensi dan pemain industri dalam ekosistem AI.

“Kami berharap sebahagian daripada (konteks) AIGE ini dapat digunakan untuk perundangan tetapi ia akan memakan masa. Tetapi sebelum kami menggubal undang-undang, AIGE diharap dapat menjadi panduan kepada semua pemain industri AI, sebagai satu disiplin yang perlu dipatuhi,” katanya pada sidang media AIGE hari ini.

Tambah beliau, undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk membendung aktiviti penyalahgunaan tetapi AI berkembang dengan sangat pesat.

“Itu sebab mengapa kita perlu ada satu panduan yang menyeluruh untuk semua pihak menggunapakai. Jadi ia (undang-undang) akan mengambil masa. Malah di seluruh dunia juga berlaku perkara yang sama, di mana garis panduan ditubuhkan dahulu, kemudian beberapa bahagiannya mungkin akan diambil untuk dijadikan undang-undang,” katanya.

Selepas ini, MOSTI akan meneruskan penglibatan dengan kementerian dan agensi termasuk Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan dan pemain industri untuk memastikan AIGE yang dilancarkan sesuai dengan keadaan semasa.

Dalam pada itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata kementeriannya mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Data Malaysia untuk memastikan pengurusan dan perlindungan data yang berkesan.

“Penubuhan suruhanjaya itu selaras dengan trend pembangunan pusat data, serta pelaburan oleh syarikat-syarikat besar seperti Amazon Web Services, Google, ByteDance, Nvidia, Microsoft dan Vantage,” katanya pada majlis pelancaran AIGE hari ini.

Katanya, garis panduan AIGE selari dengan inisiatif oleh ASEAN dalam menghasilkan panduan tadbir urus dan etika AI untuk menggalakkan penyelarasan kerangka AI di kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Perkembangan baharu ini akan membantu Malaysia memainkan peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini