Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan Tol RAHMAH Percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama empat hari untuk dinikmati oleh semua pengguna jalan raya yang akan pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkannya berkata, Tol RAHMAH Percuma akan bermula esok (19 April) hingga 21 April (Jumaat) dan juga pada 24 April (Isnin).
“Pelaksanaan Tol RAHMAH Percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan. Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, perincian lanjut mengenai pengecualian bayaran tol ini akan dibuat Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, kerajaan dengan usaha sama pasar raya terpilih bersetuju untuk menawarkan harga barangan mentah seperti ayam, bawang dan barang asas makanan bagi keperluan pengusaha Menu RAHMAH pada kadar diskaun khas.
Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan kelestarian inisiatif Menu RAHMAH berikutan kos pengeluaran yang perlu ditanggung pengusaha bagi mendapatkan bekalan bahan mentah.
“Kerajaan amat menghargai sumbangan pengusaha Menu RAHMAH yang sama-sama menjayakan aspirasi MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Melalui ikhtiar ini, diharapkan dapat memberi kelegaan kepada pengusaha dan seterusnya memastikan kelangsungan pelaksanaan Menu RAHMAH yang telah memberikan manfaat besar khususnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan,” katanya.
Kerajaan katanya turut bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri .