JOHOR BAHRU: Aliran trafik di dua pintu masuk sempadan negara melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri setakat ini masih berada dalam keadaan terkawal.
Menurut Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, secara keseluruhan, aliran trafik di 47 lokasi titik panas kesesakan jalan raya yang dikenal pasti dalam negeri sebelum ini juga berjalan lancar.
“Johor setakat ini berada dalam keadaan aman, keadaan jalan raya juga lancar, namun petang ini, kita jangka akan ada sedikit kesesakan.
“Sejak malam tadi, dari pemerhatian kita, termasuk di kedua-dua pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri juga tiada kesesakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai keadaan aliran trafik di Johor pada sambutan perayaan Aidilfitri setakat ini, ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka di kediaman rasminya, di sini, hari ini.
Kamarul Zaman sebelum ini dilapor sebagai berkata dua juta kenderaan dijangka memasuki Johor sekali gus menjangkakan akan berlaku kesesakan luar biasa di dua pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura itu.
Beliau berkata bagaimanapun 700 pegawai dan anggota trafik akan terus membuat pemantauan di jalan-jalan utama seluruh negeri, khususnya di kesemua 47 lokasi titik panas kesesakan, termasuk di CIQ BSI dan KSAB, serta 27 lokasi titik panas kemalangan yang dikenal pasti.