Tumpuan :
Nasional

AI perkukuh sistem pengesanan murid untuk tangani isu keciciran – KPM

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan memperkukuhkan Sistem Pengesanan Murid (SiPKPM) dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan lebih awal murid yang berisiko tercicir, sekali gus membolehkan intervensi dilakukan dengan lebih berfokus.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata pendekatan ini bertujuan memastikan semua murid, tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Melalui pengesanan awal, KPM boleh melaksanakan intervensi secara berfokus dan bertindak lebih awal. Kementerian tidak akan berkompromi terhadap isu kehadiran, keciciran, dan akses pendidikan berkualiti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah proaktif menangani isu kehadiran dan keciciran murid, Wong menjelaskan KPM turut melaksanakan Program Ziarah Cakna untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan dan menyediakan Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir di Sekolah.

Berhubung isu kapasiti murid yang terlalu ramai dalam satu kelas, Wong berkata Garis Panduan dan Peraturan Bagi Perancangan Bangunan 2024 menetapkan had maksimum 30 murid setiap kelas, tetapi boleh dipertimbangkan hingga 35 murid bergantung kepada faktor tertentu.

“Kita ambil kira ruang kerja, jarak kerusi dan meja dari tingkap, serta pergerakan murid dan guru. Untuk pembinaan sekolah baharu dan bangunan tambahan, analisis keperluan turut dilakukan berdasarkan kapasiti sedia ada, kepadatan penduduk, dan lebihan baki tanah sekolah,” katanya.

Wong menambah, RM100 juta telah diluluskan di bawah Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia ke-12 untuk pembinaan bangunan tambahan di sekolah menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini