Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Kewujudan teknologi kecerdasan buatan (AI) pada masa kini menjadi satu cabaran baharu bukan sahaja kepada kualiti kewartawanan tetapi juga kepada intergriti berita yang disampaikan.
Justeru, wartawan masa kini perlu bijak dan kreatif dalam memanfaatkan teknologi agar ia tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dalam setiap pelaporan media, aspek pemikiran kritikal penting kerana ia berupaya menghasilkan sesuatu yang baharu kepada industri terlibat seperti kemunculan teknologi kercerdasan buatan.
“Namun, jika teknologi itu disalahguna ia secara tidak langsung membawa kepada persoalan integriti kepada fakta atau berita yang disajikan kepada pembaca,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Kursus Kewartawanan Malaysia Press Institute (MPI) di sini.
Beliau berkata, kesahihan hasil kecerdasan buatan itu sukar ditentukan kerana ia menyerupai sesuatu yang nyata jika digunakan secara salah.
“Maka disinilah etika dan kesedaran kendiri penting dalam kita menyebarkan maklumat dan juga dalam kerja kita kerana AI sekarang mengubah cara pemikiran dan cara berkomunikasi.
“Selepas AI ini kita ada pula apa yang kita gelarkan sebagai “generating AI” yang mana ia menghasilkan sesuatu berpandukan data semasa kita, maka disinilah kesedaran itu penting untuk menentukan apa yang hendak dilakukan dengan data yang ada sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya,” katanya.
Menurut Abang Johari, dengan kemajuan teknologi terbabit, semua pihak termasuk pengamal media perlu bijak dan mengetahui perkara yang dilakukan itu sesuatu yang boleh memberikan penilaian yang profesional.
Ia kerana struktur data dalam AI terbabit berupaya menentukan sesuatu berdasarkan jaluran datar yang diberikan sebelumnya sekaligus berupaya menjejaskan kredibiliti data dan penguna data terbabit.
Oleh demikian tegasnya semua pihak perlu tahu menilai kebaikan dan keburukan sesuatu teknologi sebelum penggunaan dilakukan secara meluas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.